SHAH ALAM, 25 MAC: Malaysia menyokong langkah Pakistan menjadi pengantara dalam rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran sebagai usaha penting untuk meredakan ketegangan di Asia Barat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keakraban Pakistan dengan pelbagai pihak serta kedudukannya yang dihormati dalam dunia Islam meletakkan negara itu pada posisi kukuh untuk memacu rundingan bermakna.
“Malaysia mendukung penuh usaha ini dan menggesa Amerika Syarikat serta Iran khususnya agar menyahut tawaran ini dengan jiwa yang besar demi keamanan dunia.
“Malaysia akan terus mendukung apa sahaja langkah yang menjamin keadilan dan keamanan sejagat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar turut menekankan bahawa ruang diplomasi perlu dimanfaatkan secara serius dan bijaksana, manakala sebarang rundingan mesti berlandaskan kejujuran bagi menamatkan konflik yang berlarutan.
Pada masa sama, beliau menegaskan Malaysia mengangkat hak Iran untuk mempertahankan kedaulatannya serta menggesa semua pihak bertindak lebih cermat bagi mengelakkan serangan terhadap bangunan dan infrastruktur negara jiran.
Dalam usaha meredakan ketegangan, Malaysia juga telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin Turkiye, Mesir, Indonesia, Jepun dan Pakistan bagi mencari penyelesaian secara aman melalui saluran diplomatik.
Ketegangan di Asia Barat terus memuncak sejak konflik tercetus akhir Februari lalu, dengan beberapa negara termasuk Pakistan tampil menawarkan diri sebagai pengantara bagi mengadakan rundingan damai antara AS dan Iran.








