Malaysia gesa gencatan senjata segera di Asia Barat

25 Mac 2026, 9:40 AM
Malaysia gesa gencatan senjata segera di Asia Barat

SHAH ALAM, 25 MAC: Malaysia menzahirkan hasrat kepada Iran agar gencatan senjata yang menyeluruh dan berkekalan dilaksanakan segera bagi meredakan ketegangan di Asia Barat.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu disuarakan dalam perbualannya bersama rakan sejawat dari Iran, Dr Seyed Abbas Araghchi pada Selasa (24 Mac).

“Alhamdulillah dapat menghubungi rakan sejawat dari Iran, Dr Seyed Abbas Araghchi pada 24 Mac 2026 bagi membincangkan perkembangan terkini di rantau Asia Barat, termasuk kepentingan menjaga laluan maritim di Selat Hormuz demi kestabilan ekonomi dan tenaga global,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, dialog dan diplomasi perlu terus diutamakan sebagai pendekatan bagi meredakan ketegangan serta menghentikan konflik yang berlarutan.

Dalam masa sama, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha diplomatik bagi mempromosikan keamanan dan keselamatan di peringkat serantau.

Selain itu, Mohamad turut mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat dari Oman, Sayyid Badr Hamad Al Busaidi mengenai situasi semasa di negara Teluk.

Beliau berkata, Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap serangan berterusan terhadap Iran serta menyatakan sokongan terhadap usaha mediasi yang digerakkan Oman.

Katanya, rundingan melalui saluran diplomatik perlu diteruskan bagi memastikan konflik dapat dihentikan dengan segera.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.