SHAH ALAM, 25 MAC: Sepasang kekasih yang tular kerana didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh dalam keadaan berbogel di sebuah tanah perkuburan di Georgetown, Pulau Pinang akan didakwa esok.
Kedua-dua suspek dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Georgetown susulan siasatan yang dijalankan.
“Pasangan yang ditahan berhubung kes ini akan didakwa di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, kedua-dua suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun mengenai video tular yang memaparkan aksi tidak sopan di kawasan perkuburan.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 22 Mac di tanah perkuburan Cina Batu Gantung, Air Itam.
Wanita berusia 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 8.35 malam Isnin di sebuah flat berhampiran Jalan Padang Tembak.
Lelaki berusia 58 tahun pula ditahan sekitar jam 11.10 malam pada hari sama di hadapan sebuah bangunan berhampiran Jalan Paya Terubong, Sungai Ara, Bayan Lepas.
Kedua-dua suspek turut mengaku melakukan perbuatan berkenaan.








