Cuaca panas cetus risiko kebakaran, 6,575 kes direkod dalam dua bulan

24 Mac 2026, 7:23 AM
Cuaca panas cetus risiko kebakaran, 6,575 kes direkod dalam dua bulan

SHAH ALAM, 24 MAC: Sebanyak 6,575 kes kebakaran direkodkan di seluruh negara dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, susulan peningkatan risiko akibat cuaca panas.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 32,810 kes kebakaran melibatkan hutan, ladang dan kawasan semak yang direkodkan sejak 2024 hingga Februari lalu.

Menurut Datuk Seri Nor Hisham Mohammad, tahun 2024 mencatatkan jumlah kebakaran tertinggi dengan 16,294 kes, diikuti 9,941 kes pada 2025.

"Kebakaran kawasan semak dan rumput mencatat jumlah tertinggi dengan 26,800 kes, diikuti kebakaran hutan (3,860) dan ladang (2,150).

“Susulan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menghentikan sebarang aktiviti pembakaran terbuka dengan serta-merta,” katanya seperti dilapor NST.

Beliau berkata, antara 40 hingga 60 peratus panggilan kecemasan sepanjang musim kering berkaitan kebakaran terbuka termasuk di kawasan pertanian, hutan dan padang rumput.

Anggota bomba menyertai operasi pemadaman kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan seluas 56 ekar di Sungai Kelambu, Banting yang terbakar baru-baru ini. Foto ihsan JBPM

Sehubungan itu, petani dinasihatkan agar tidak membakar sisa pertanian atau jerami, manakala orang ramai juga diingatkan supaya tidak membakar sampah di kawasan terbuka atau belakang rumah.

JBPM turut mengenal pasti kawasan berisiko tinggi seperti tanah gambut dan hutan simpan di Selangor, Perak dan Johor sebagai sebahagian langkah kesiapsiagaan.

Nor Hisham berkata, kebakaran bawah tanah gambut sukar dikesan dan boleh berlarutan selama beberapa minggu jika tidak dikawal lebih awal.

Menurut beliau, pihaknya kini menggunakan dron secara meluas bagi memantau kawasan panas (hotspot) dari udara untuk mengesan kebakaran lebih awal.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan cuaca panas meningkatkan risiko kebakaran di rumah dan premis perniagaan.

“Pastikan sistem pendawaian elektrik tidak dibebankan dan elakkan penggunaan soket secara berlebihan kerana suhu tinggi boleh menyebabkan litar pintas.

“Jangan tinggalkan aktiviti memasak tanpa pengawasan kerana api mudah merebak dalam keadaan kering,” katanya.

Orang ramai juga diminta segera melaporkan sebarang kebakaran atau kepulan asap melalui talian kecemasan 999.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.