SHAH ALAM, 24 MAC: Kes penipuan pelaburan tidak wujud terus membimbangkan apabila sebanyak 1,459 kes direkodkan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, meskipun jumlah kerugian mencatatkan penurunan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata jumlah kes itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Februari, jumlah kerugian direkodkan adalah sebanyak RM188 juta.
"Peningkatan kes membuktikan sindiket penipuan masih aktif memperdaya mangsa dengan pelbagai taktik, terutama melalui platform digital.
“Sindiket lazimnya menggunakan aplikasi pemesejan seperti WhatsApp dan Telegram untuk memerangkap mangsa,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Katanya, antara modus operandi yang sering digunakan adalah menawarkan pelaburan dengan pulangan tinggi dalam tempoh singkat bagi menarik minat orang ramai.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa.
“Masyarakat perlu menyemak kesahihan sesuatu pelaburan sebelum membuat sebarang transaksi kewangan,” katanya.
Pada masa sama, JSJK turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumber sah sebelum membuat keputusan berkaitan pelaburan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.








