Kenderaan pacuan empat roda terjunam ke Sungai Klang

23 Mac 2026, 2:14 PM
Kenderaan pacuan empat roda terjunam ke Sungai Klang

SHAH ALAM, 23 MAC: Sebuah kenderaan pacuan empat roda terjunam ke dalam Sungai Klang berhampiran Jalan Munsyi Abdullah, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada jam 10.40 pagi, lapor Berita Harian.

Susulan itu, sepasukan anggota penyelamat berserta Unit Perkhidmatan Rawatan Kecemasan (EMS) dari APM Daerah Kuala Lumpur digerakkan segera ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

Bagaimanapun, sebaik sahaja pasukan APM tiba di lokasi, didapati pemandu kenderaan terbabit berjaya dikeluarkan hasil tindakan pantas orang awam yang berada di kawasan berhampiran.

"Mangsa diselamatkan lebih awal oleh orang awam dan terus dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Ketika ketibaan anggota kami, hanya kenderaan mangsa yang didapati masih berada di dalam sungai," katanya.

Katanya, kerja menaikkan dan membawa keluar kenderaan terbabit dari dalam sungai dilakukan menggunakan perkhidmatan kren awam.

Setakat ini, status kecederaan pemandu masih belum didedahkan, manakala punca sebenar kenderaan terbabit hilang kawalan dan terjatuh ke dalam sungai masih dalam siasatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.