Menteri luar Liga Arab akan bersidang lagi

23 Mac 2026, 10:00 AM
Menteri luar Liga Arab akan bersidang lagi

ISTANBUL, 23 MAC: Iraq pada Ahad berkata persiapan sedang dijalankan bagi satu lagi mesyuarat maya Menteri-Menteri Luar Liga Arab untuk membincangkan perkembangan keselamatan serantau yang semakin meningkat, lapor Agensi Anadolu (AA).

Ia akan menjadi mesyuarat kedua seumpamanya sejak bermulanya serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran pada 28 Feb serta tindakan balas Tehran selepas itu.

Mesyuarat sebelum ini yang diadakan secara maya pada 10 Mac merupakan sesi kecemasan Liga Arab bagi menangani kesan segera konflik tersebut, dengan mengecam serangan Iran terhadap negara di rantau itu serta menyeru agar ia dihentikan segera.

Perancangan bagi mesyuarat baharu itu diumumkan susulan beberapa panggilan telefon berasingan oleh Menteri Luar Iraq Fuad Hussein dengan rakan sejawatnya dari Oman Badr Albusaidi dan Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty, menurut Kementerian Luar Iraq.

Albusaidi dan Hussein membincangkan “persiapan bagi mesyuarat maya Menteri-Menteri Luar Liga Arab yang akan datang,” menurut kementerian itu sambil menambah bahawa kedua-dua pihak menekankan “kepentingan menyelaras pendirian Arab dan memperkukuh tindakan bersama dalam menghadapi cabaran semasa.”

Dalam panggilan telefon Hussein dengan Abdelatty, kedua-dua pihak menegaskan bahawa “agenda mesyuarat itu perlu merangkumi pelbagai isu, tidak terhad kepada satu topik sahaja, mencerminkan skala cabaran yang dihadapi rantau itu,” katanya.

Permusuhan di rantau itu semakin memuncak sejak serangan AS dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Feb, dengan Iran membalas melalui siri serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.