Oleh Jaymani Sevanathan
Ilustrasi Muizzah
Oh jalan, tunjukkan aku Tuhan yang benar.
Saya menggosok kedua-dua mata. Benarkah apa yang saya nampak? Saya menatap semula gambar tersebut. Gambar yang saya jumpa secara rawak di media sosial X. Benar, begitulah kalimatnya. Saya sedikit tergamam. Terkesima. Terpesona. Sebab lazimnya kita mendengar – Oh Tuhan, tunjukkan aku jalan yang benar. Perasaan saya ketika itu bertarung dengan realiti. Jalan yang mana ingin ditempuh menuju hari mendatang?
Kalimat itu mengingatkan saya pada puisi Rabindranath Tagore dalam kumpulan puisinya, Gitanjali. Magnum opus itu menghimpunkan puisi yang melagukan cinta, damba dan rindu bukan sekadar hal duniawi dan manusiawi tetapi menyelam jauh ke dalam penghayatan mistik dan rohani seterusnya menyentuh ruang-ruang batin yang jarang kita berani lewati.
Ketika saya menyelak pengenalan Gitanjali terjemahan Latiff Mohidin (1986), W.B. Yeats berpandangan bahawa lirik-lirik dalam buku ini dipenuhi kebeningan rentak irama, kelunakan warna yang tidak mungkin dapat diterjemahkan, dan gubahan kata-kata yang bermatra.
Menelaah puisi ini bukanlah tugas mudah—ia bukan pembacaan tetapi renungan. Puisi Tagore ini mengukir dan mengetuk kita dengan kata-katanya, memaksa kita merenung lebih dalam, ke dalam daerah-daerah batin yang bergema resah.
Melihat Puisi ke-11 dalam Gitanjali, ia bukanlah kerinduan terhadap Tuhan semata-mata. Ia persis sebuah tamparan. Puisi ini adalah pesanan tetapi sungguh lantang dan membuat kita berfikir sejenak. Dari baris pertama lagi, Tagore menghempas kita keluar dari khayalan suci, apatah lagi bagi saya, seorang penganut Hindu:
berhentilah dari berdendang / bernyanyi dan menghitung / — menghitung lokan ini! / siapakah yang kaupuja / di sudut rumah suci / yang sunyi gelap ini / sedang pintu semua tertutup? / bukalah matamu dan lihatlah / tuhanmu tidak ada di hadapanmu
Saya langsung teringat akan petikan kata-kata Jalaluddin Rumi dalam sebuah buku bertajuk Beyond the Cave: A Philosopher's Quest for Truth (2020).
“Dulu aku mencari Tuhan di masjid namun tidak kutemukan Tuhan di sana. Aku beralih ke gereja, aku juga tidak menemukan Tuhan di sana. Aku beralih dari tempat ibadah yang satu ke tempat ibadah yang lain namun aku tidak menemukan Tuhan di sana. Justeru aku menemukan Tuhanku ketika aku melihat diriku sendiri, ketika merenungkan tentang samudera diri ini."
Tagore barangkali menekankan bahawa tempat ibadat bukan sekadar binaan tetapi ruang di mana kita bertemu dengan kemanusiaan yang sebenar. Ritual atau ibadah tanpa kesedaran hanyalah sia-sia sahaja. Bukalah matamu dan lihatlah / tuhanmu tidak ada di hadapanmu menekankan paradoks yang agak menakjubkan. Bagaimana mungkin Tuhan tidak ada di hadapan seseorang yang sedang bersembahyang di kuil? Adakah Tagore sedang membongkar kebenaran yang sukar ditelan: bahawa Tuhan yang kita cari mungkin hanyalah bayangan kita sendiri? Ataupun bahawa kita tidak pernah mencari, sebaliknya sepanjang perjalanan spiritual ini, kita sekadar tercari-cari.
Tagore mempersoalkan amalan keagamaan yang dianggapnya berlebihan melalui nyanyian-nyanyian dalam memuji Tuhan. Tagore berpendapat bahawa setiap penganut seharusnya mengamalkan kesederhanaan dalam melaksanakan kewajipan agama. Misalnya, jangan sesekali melampaui batas sehingga mengabaikan tanggungjawab duniawi sebaliknya perlu mengambil pendekatan yang seimbang dalam menunaikan urusan keagamaan.
Kritikan yang disampaikan dalam puisi ini menegaskan bahawa sikap berlebih-lebihan atau fanatik dalam beragama bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan. Agama mampu memanipulasi masyarakat yang jahil. Tagore menoreh lagi dengan aksaranya:
di mana petani membajak / tanah yang keras / di mana pembuat jalan / memukul batu / di situlah dia / bersama orang-orang ini.
Inilah jantung puisi ini bagi saya. Sebuah kenyataan yang berani, radikal dan mencabar. Alasan muluk-muluk tentang takdir yang dangkal tidak lagi kelihatan hebat kerana Tagore mengatakan bahawa takdir kita bukan sekadar tertulis di tangan-Nya. Tetapi ia turut tertulis dalam tangan kita yang bekerja, pada kaki kita yang turun ke tanah berdebu.
Tagore mengatakan Tuhan bukanlah berada di celah-celah kesunyian pertapaan atau di puncak gunung yang terpencil mahupun di ruang yang kita sering romantisasikan sebagai ‘rohani’. Sebaliknya, Tuhan bersama orang yang bekerja keras dan tersemat keikhlasan dalam dirinya. Juga, kehidupan dunia dan akhirat haruslah diurus secara seimbang.
Apa yang Tagore karang ini adakah boleh dikatakan sebagai sebuah bentuk pemberontakan? Melawan Tuhan atau agama adalah pemberontakan yang tak pernah padam tetapi Tagore tidaklah sebegitu seperti yang disangkakan.
Membaca puisi ini adalah seperti pertarungan minda kerana memerlukan penerimaan dan introspektif. Kita tahu cinta adalah entiti kompleks, misterius lagi abstrak, yang sukar ditakrif atau dihuraikan dan cinta kepada Tuhan yang Tagore gambarkan di sini adalah cinta yang kompleks, yang menuntut kita keluar dari zon selesa kita.
Kemudian Tagore melemparkan satu soalan yang mengejutkan. Kebebasan? / di manakah didapati kebebasan? Dalam agama Hindu, Moksha atau pembebasan daripada kitaran kelahiran dan kematian merupakan matlamat tertinggi. Ramai yang mencari kebebasan dengan melepaskan ataupun menjauhkan diri daripada perihal dunia. Namun jawapan Tagore mengejutkan:
paduka kita sendiri / menerima dengan ria / ikatan ciptaan / untuk selamanya / dia terikat pada kita.
Maksudnya, Tuhan sendiri, entiti yang paling bebas memilih untuk terikat pada ciptaan-Nya, terikat pada kita yang penuh dengan ketidaksempurnaan ini.
Sarvepalli Radhakrishnan, seorang ahli falsafah India dan mantan Presiden India dalam bukunya The Philosophy of Rabindranath Tagore (1919), menyebut bahawa Tagore mengamalkan mistisisme yang penuh dengan sifat kemanusiaan yang mendalam. Bagi Tagore, kita tidak boleh mencari Tuhan sambil membelakangkan atau memulaukan kemanusiaan. Kedua-duanya mesti berjalan seiring dan seterusnya saling melengkapi.
Bangkitlah dari semadimu / hentikanlah memakai / bunga dan bau-bauan!
Sekiranya melihat dengan lensa yang lebih luas, Tagore menegur ritual pertapaan, persembahan bunga kepada Dewa dan Dewi dan pembakaran kemenyan. Mengapa Tagore menyerang amalan-amalam suci ini? Bukan kerana ia salah pada dasarnya, tetapi kerana ia boleh menjadi penyendirian daripada tanggungjawab harian dan duniawi. Kita boleh duduk bermeditasi berjam-jam supaya tidak perlu berhadapan dengan kehidupan yang rumit. Kita boleh terus menghidu kemenyan yang wangi supaya tidak didekati bau peluh buruh atau orang-orang yang susah. Kita boleh memuja Tuhan berlebih-lebihan dengan kalungan bunga tetapi kadang lupa untuk menghormati sesama manusia. Kita sering membataskan ukuran cinta terhadap Tuhan dengan nafsu manusia semata-mata.
Kekuatan metafora adalah nafas utama sebuah puisi. Puisi Tagore ini ada ruang untuk pentafsiran, pertanyaan dan kemungkinan-kemungkinan yang kita tercari-cari. Meskipun pakaianmu / usang dan kotor / apa yang kau khuatirkan? Baris ini merupakan pembebasan daripada kebimbangan tentang penampilan rohani yang selalu menghantui kita. Takut akan apa jika pakaian kita usang dan kotor?
Soalan retorik ini sebenarnya menyentuh isu yang sangat mendalam dalam masyarakat India pada zaman Tagore. Dalam sistem kasta Hindu, pakaian bukan sekadar pakaian sahaja. Ia merupakan penanda status sosial dan kerohanian seseorang. Golongan Brahmin, kasta tertinggi buatan manusia (Saya secara peribadinya tidak menerima mahupun mempercayai sistem kasta) lazimnya memakai pakaian putih yang bersih sebagai simbol kesucian mereka. Manakala mereka yang melakukan kerja-kerja ‘bawahan’ yakni petani, para tukang, pekerja pembersihan dan sebagainya; sering memakai pakaian yang lusuh kerana keperluan pekerjaan mereka. Ini mewujudkan jurang dua darjat. Jadi, sebenarnya Tagore mengkritik tradisi India yang mengasingkan dan memisahkan manusia mengikut sistem kasta.
Saya juga terpancing dengan baris terakhir, carilah dia / dan bantulah dia / dalam pekerjaannya / dengan keringat di keningmu. Konsep ‘menolong' Tuhan ini kedengaran janggal atau bahkan tidak masuk akal. Bagaimana mungkin manusia dapat menolong Pencipta? Namun di sini, Tagore bukanlah bermaksud bahawa Tuhan memerlukan bantuan kita secara literal. Sebaliknya, beliau menekankan bahawa Tuhan memilih untuk melibatkan manusia dalam menyempurnakan apa yang telah Dia mulakan. Contoh paling baik adalah membantu dan menghormati sesama manusia tanpa melihat agama, bangsa, kepercayaan mahupun sistem kasta. Itulah ajaran mana-mana agama termasuk agama Hindu.
Bagi saya, puisi ini ibarat suatu penyucian setelah lama bergelumang dengan pemikiran dan kehidupan yang menyesakkan. Saya menganggap keseluruhan puisi ini adalah bayang-bayang kekal yang akan menghantui hari-hari saya yang mendatang, tetapi semestinya dalam lensa positif yang tidak dapat diragui lagi - meski kala membaca puisi ini, saya mengucap panjang sambil mengurut dada, kerana menimbulkan keresahan. Keresahan yang memaksa kita bertanya: sanggupkah kita menanggalkan pakaian suci kita? Beranikah kita meninggalkan ritual-ritual yang melampau dan turun ke tanah yang berdebu bersama orang-orang yang membanting tulang demi kelangsungan hidup?
Saya percaya bermula dengan rasa peduli sesama manusia, kita sebenarnya sedang merapati Tuhan.








