SHAH ALAM, 21 MAC: Kawasan Padang Terap di Kedah merekodkan suhu panas Tahap 2 atau gelombang haba setakat jam 4 petang tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kawasan berkenaan merekodkan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Selain itu, 10 kawasan lain di Semenanjung berada pada Tahap 1 (Berjaga-jaga) iaitu Perlis; Kubang Pasu, Pokok Sena, Sik, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Pendang, Baling dan Bandar Baharu di Kedah serta Timur Laut di Pulau Pinang.
Tahap berjaga-jaga ditakrifkan sebagai suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius yang berterusan sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Orang ramai disaran merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia bagi mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas harian.







