HULU LANGAT, 21 MAC: Aidilfitri lazimnya diraikan bersama keluarga tercinta, namun bagi penghuni Rumah Jagaan Mahmudah di Semenyih, Syawal hadir dalam suasana yang berbeza, namun tidak pernah sepi.
Di sebalik pintu pusat jagaan ini, kehidupan tetap berjalan seperti biasa dengan rutin, doa dan harapan yang perlahan-lahan membentuk sebuah keluarga baharu dalam kalangan penghuni.
Bagi Faridah Isa, 70, yang menetap di sini sejak 2022, Aidilfitri pada awalnya terasa kosong. Namun masa mengajar beliau menerima takdir dengan hati yang lebih terbuka.
Rakan-rakan senasib kini menjadi pengganti keluarga, manakala kunjungan orang luar yang datang menyantuni penghuni menghidupkan suasana lebaran.

"Seronoklah orang datang tengok kita walaupun kita tidak boleh keluar, ada juga yang ingat," ujarnya lembut.
Pagi raya di pusat jagaan itu bermula seawal 4.30 pagi dengan solat tahajud, diikuti solat Subuh dan kemudiannya solat sunat Aidilfitri selain aktiviti mengaji sebelum menjamu hidangan yang disediakan bersama.
"Ingat juga kita makan sama-sama dengan keluarga dulu. Kalau dulu hidangan raya antaranya nasi dagang, nasi kerabu tapi dekat sini lain," katanya yang berasal dari Kelantan.

Menghidap penyakit tiga serangkai, Faridah kini mengakui kehidupannya lebih terurus di pusat jagaan.
"Duduk sini sangat-sangat selesa, makan minum, ubat semua dijaga," katanya, sambil menitipkan pesan penuh makna kepada masyarakat.
"Jagalah keluarga betul-betul, jangan bila ibu dah tua kita lupakan kerana mereka yang menjaga kita sejak kecil."
Bagi Hazahari Mohd Noor, 55, Aidilfitri di sini bukan lagi sesuatu yang asing. Sejak menetap pada 2023, beliau telah melalui empat kali Syawal tanpa keluarga di sisi.
Jika dahulu hati sarat dengan kesedihan, kini beliau belajar menerima dengan reda.

"Awal dulu memang rasa sedih tapi sekarang alhamdulillah, saya anggap keluarga saya semua ada kat sini," katanya.
Kemeriahan tetap dirasai hasil sumbangan orang ramai dan juadah yang tidak pernah putus.
"Tahun ni saya dapat tiga pasang baju raya. Makanan pun memang mewah dan pelbagai sampai penghuni tiada yang berlapar," katanya.
Namun, di sebalik senyuman itu, ada kenangan yang masih utuh tersimpan.
"Bila tiba raya, paling saya teringat adalah pada arwah ayah, arwah ibu dan anak yang sudah bertahun terpisah," ujarnya perlahan.

Walaupun dikelilingi rakan yang sentiasa memberi sokongan, kerinduan terhadap anak tunggalnya tidak pernah pudar.
"Saya tetap mengharapkan satu hari nanti dapat jumpa dia sebelum saya meninggal dunia," katanya.
Sementara itu, bagi penghuni paling muda, Nor Aliff Mohd Nor, 39, ini merupakan pengalaman pertama menyambut Aidilfitri di pusat jagaan selepas dimasukkan pada Oktober 2025 akibat masalah kesihatan.
Bagi Aliff, Syawal kali ini membawa makna yang cukup berbeza bahkan istimewa.

"Seronok sebab kali terakhir saya dapat rasa suasana beraya adalah pada tahun 2015 iaitu ketika ayah masih ada. Lepastu memang tidak ada, macam sudah tidak tahu erti perayaan," katanya.
Sejak lumpuh separuh badan pada 2022, hidupnya berubah sepenuhnya. Namun di sini, beliau menemukan sesuatu yang lama hilang iaitu ketenangan dan bimbingan.
"Bila masuk sini, banyak perubahan pada diri saya terutama dalam menunaikan kewajiban solat.
"Kali terakhir saya khatam al-Quran adalah pada tingkatan satu, tapi di sini, setiap dua minggu saya khatam. Mereka banyak ajar tentang agama dan motivasi," katanya.

Bagi Aliff, Aidilfitri bukan sekadar tentang pakaian baharu atau juadah istimewa, tetapi tentang kebersamaan.
"Saya sudah lama rasa tiada ayah. Bila salam dengan pakcik-pakcik semua tu, rasa macam dapat ganti rasa bersalam dengan ayah. Tak banyak, tapi tetap rasa auranya," katanya.
Namun jauh di sudut hati, harapan itu tetap ada.
"Kalau boleh, saya mahu berkumpul semula dan beraya dengan adik-beradik macam dulu," katanya.

Di Rumah Jagaan Mahmudah, Aidilfitri mungkin tidak lagi seperti dahulu. Namun di celah kekurangan, mereka membina makna baharu tentang keluarga, bukan hanya yang terikat darah, tetapi juga yang hadir pada saat paling memerlukan.









