SHAH ALAM, 20 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyeru masyarakat untuk terus menyalurkan sumbangan bagi membantu pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan di Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (PDM).
Yayasan itu menerusi Facebook memaklumkan sumbangan boleh dibuat menerusi pautan infaq dana-dialisis bagi memastikan pesakit mendapat rawatan berterusan di enam PDM.
“YIDE terus komited membantu pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis di PDM bagi meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
“Inisiatif seperti ini amat penting buat YIDE bagi menjamin kesejahteraan golongan yang memerlukan dan setiap sumbangan membawa harapan baru kepada mereka yang sedang berjuang,” katanya.
Setakat ini, kemudahan PDM di bawah seliaan YIDE terdapat di enam lokasi iaitu di Shah Alam, Bukit Jelutong, Kapar, Sungai Besar, Kuala Selangor dan Taman Melawati.
Menurutnya, berdasarkan rekod YIDE telah memperuntuk subsidi rawatan dialisis lebih RM1.72 juta untuk 260 pesakit buah pinggang pada tahun lalu, manakala bagi 2024 melibatkan lebih RM1.71 juta subsidi untuk 256 pesakit buah pinggang.
“Subsidi ini bukan sekadar angka, tetapi satu sinar harapan dan membantu mengurangkan beban kewangan pesakit dan keluarga serta memastikan rawatan dialisis tidak terhenti.
Selain itu, memberi peluang kepada pesakit untuk meneruskan kehidupan dengan lebih berkualiti,” katanya.









