SHAH ALAM, 20 MAC: Satu mesyuarat khas bakal diadakan selepas Aidilfitri bagi mencari penyelesaian terhadap isu hakisan tebing sungai serta risiko banjir di Sungai Sekamat, Kajang.
Wakil rakyat kawasan itu David Cheong berkata tindakan segera sukar diambil susulan status tanah yang tidak jelas di bawah mana-mana agensi berkaitan.
"Setakat ini kita dapati tanah ini bukan di bawah pejabat tanah dan bila semak dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mereka juga maklumkan bukan di bawah mereka, sebab itu tiada tindakan dapat diambil.
"Saya telah minta supaya satu mesyuarat diadakan selepas Aidilfitri melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), JPS dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Saya sendiri akan hadir untuk melihat bagaimana kita boleh selesaikan isu ini," katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, mesyuarat tersebut penting bagi menyelaras tanggungjawab antara agensi terlibat selain memastikan penyelesaian dapat dicapai secara lebih teratur dan berkesan.
"Keadaan ini amat membimbangkan terutama bagi penduduk di tepi sungai. Justeru itu, saya telah menghubungi pihak berkaitan untuk tindakan segera dan tuntas bagi menangani isu ini," ujarnya.
Beliau turut memaklumkan kejadian hakisan yang menyebabkan tanah runtuh kecil di lokasi berkenaan masih dalam keadaan terkawal dan tidak membahayakan setakat ini.
"Tanah runtuh yang berlaku hanya sedikit, tidak serius dan masih dalam keadaan selamat," katanya.




