NEW YORK, 20 MAC: Jumlah trak bantuan yang memasuki Semenanjung Gaza merosot kira-kira 80 peratus berdasarkan anggaran antarabangsa sejak bermulanya serangan Israel-Amerika Syarikat (AS) di Iran.
Purata mingguan menurun daripada kira-kira 4,200 trak sebelum serangan kepada 590 pada minggu pertama, kemudian meningkat kepada 1,137 pada minggu kedua, manakala minggu ini setakat petang Selasa, jumlah itu tidak melebihi 400 trak, lapor agensi berita Palestin (WAFA).
Pada masa sama, penurunan mendadak dalam aliran bantuan memberi kesan kepada keadaan kehidupan, dengan peningkatan ketara harga makanan serta kekurangan barangan asas di Semenanjung Gaza.
Harga bagi seguni tepung seberat 25 kilogram meningkat kepada kira-kira 100 shekel, tiga kali ganda berbanding harga sebelumnya, manakala harga satu kilogram tomato naik daripada sekitar lima shekel kepada 12 shekel.
Sementara itu, barangan seperti minyak masak dan makanan dalam tin dilaporkan telah kehabisan di pasaran.
Dalam sektor kesihatan, sumber perubatan melaporkan kekurangan peralatan perubatan yang semakin serius serta memberi amaran mengenai risiko kegagalan grid kuasa yang bergantung kepada generator berikutan kekurangan bahan api dan alat ganti.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran mengenai kekurangan ubat-ubatan dan bekalan perubatan yang semakin meruncing.
Sementara itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menegaskan bahawa bantuan yang disalurkannya “menyelamatkan nyawa kanak-kanak dan keluarga mereka di Gaza,” sambil memberi amaran bahawa sebarang gangguan akan terus memburukkan lagi keadaan kemanusiaan.








