Aidilfitri ruang YB dekati rakyat, hidupkan kembali tradisi ziarah rumah ke rumah

22 Mac 2026, 1:00 AM
Aidilfitri ruang YB dekati rakyat, hidupkan kembali tradisi ziarah rumah ke rumah
Aidilfitri ruang YB dekati rakyat, hidupkan kembali tradisi ziarah rumah ke rumah
Aidilfitri ruang YB dekati rakyat, hidupkan kembali tradisi ziarah rumah ke rumah

SHAH ALAM, 22 MAC: Usaha menghidupkan semula semangat kebersamaan dalam masyarakat menjadi antara harapan dua Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor sempena sambutan Aidilfitri.

ADN Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata beliau berhasrat menghidupkan kembali tradisi ziarah rumah ke rumah secara berkumpulan atau baraan bagi mengeratkan hubungan kejiranan khususnya dalam masyarakat bandar.

“Saya memang ada hasrat untuk menghidupkan semula baraan di kawasan saya, di Kota Damansara.

“Kalau kita dapat buat, kita boleh pergi dari rumah ke rumah, jumpa jiran, bermaaf-maafan dan makan bersama. Itu sebenarnya yang mengeratkan hubungan dalam komuniti,” katanya yang merujuk kepada tradisi yang sinonim dalam komuniti Jawa itu dalam program Rancak Raya: Cerita Raya YB terbitan Media Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim dalam program Rancak Raya: Cerita Raya YB terbitan Media Selangor pada 6 Mac 2026, Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Sependapat dengannya, ADN Kota Kemuning Preakas Sampunathan berkata pengalaman menyambut Aidilfitri sejak kecil menunjukkan perayaan tersebut mampu menjadi ruang yang menyatukan masyarakat majmuk, khususnya di Selangor.

Menurutnya, kepelbagaian kaum dan agama di negeri itu menjadikan setiap perayaan bukan sekadar sambutan, tetapi peluang untuk saling mengenali budaya, memahami amalan masing-masing serta memupuk rasa hormat yang akhirnya mengukuhkan perpaduan masyarakat.

“Di Selangor, kita hidup dalam masyarakat majmuk, pelbagai agama dan bangsa dan kita meraikan semua perayaan bersama-sama.

“Kita belajar budaya antara satu sama lain, faham amalan masing-masing dan dari situ datangnya rasa hormat serta perpaduan dalam masyarakat,” katanya.

Raya mengejut, nostalgia di kampung

Di sebalik usaha menghidupkan semangat kebersamaan itu, Aidilfitri turut menyimpan kisah peribadi yang dekat di hati dua wakil rakyat ini.

Bagi Muhammad Izuan, pengalaman paling diingati berlaku ketika dalam perjalanan ke Singapura sewaktu berkunjung ke rumah mentuanya.

Ketika itu, Aidilfitri diumumkan lebih awal di Malaysia, manakala Singapura masih berpuasa sehari lagi.

“Waktu itu saya dalam perjalanan nak balik rumah mentua di Singapura. Bila diumumkan, Malaysia dah raya tetapi Singapura masih puasa sehari lagi.

“Saya berada di Tambak Johor. Kalau saya berpatah balik, saya boleh raya di Malaysia, tetapi saya pilih untuk teruskan perjalanan ke Singapura dan sambung puasa di sana.

“Memang berat masa tu, sebab orang lain dah beraya, kita masih puasa, tapi itu pengalaman yang saya tak boleh lupa,” katanya.

ADN Kota Kemuning Preakas Sampunathan dalam program Rancak Raya: Cerita Raya YB terbitan Media Selangor pada 6 Mac 2026, Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Preakas mengimbau kenangan membesar sebagai satu-satunya pelajar India dalam kelas di sekolah majoriti Melayu di Padang Serai, Kedah.

Katanya, keadaan itu tidak menghalangnya meraikan Aidilfitri tanpa rasa janggal.

“Saya ikut kawan-kawan naik basikal, pergi dari rumah ke rumah, makan ketupat, rendang dan dapat duit raya. Masa tu kita hanya seronok bersama kawan-kawan,” katanya.

“Sejak kecil kita belajar hormat antara satu sama lain. Ketika puasa pun, walaupun saya boleh makan, saya tak akan makan di sekolah,” ujarnya.

Aidilfitri ruang dekati masyarakat

Bagi kedua-dua wakil rakyat itu, Aidilfitri bukan sekadar perayaan, sebaliknya peluang untuk lebih mendekati masyarakat.

Bagi Izuan, beliau akan mengambil kesempatan menziarahi penduduk termasuk pesakit, warga emas dan golongan memerlukan.

“Aidilfitri ini ruang terbaik untuk kita rapat dengan rakyat. Kita bukan sekadar hadir, tetapi melihat sendiri keadaan mereka.

“Ada yang sakit, ada yang memerlukan bantuan, dan bila kita turun sendiri, kita lebih faham apa yang mereka lalui,” katanya.

Preakas pula mengakui jadualnya padat dengan jemputan rumah terbuka dan program komuniti sepanjang musim perayaan.

Namun, beliau tetap berusaha memenuhi undangan kerana tidak mahu menghampakan penduduk.

“Kita cuba hadir sebanyak mungkin jemputan. Selain beraya, ini juga peluang untuk kita berjumpa penduduk dan dengar sendiri isu mereka.

“Kadang-kadang dalam suasana santai macam ini, orang lebih selesa untuk berkongsi, dan itu membantu kita faham keadaan sebenar di lapangan,” katanya.

Program Rancak Raya: Cerita Raya YB terbitan Media Selangor dihoskan oleh Rashdan Samsudin dan Aida Nyan.

Program khas Aidilfitri ini disiarkan selama tiga hari bermula hari raya pertama hingga hari raya ketiga pada jam 9 malam, menerusi laman web Media Selangor serta semua platform media sosial rasmi Media Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.