SHAH ALAM, 18 MAC: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum digilis lori dalam kejadian berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Kantan, Bukit Sentosa, Hulu Selangor, semalam.
Kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu menyebabkan mangsa yang berusia 64 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ibrahim Husin berkata siasatan awal mendapati lori tanpa muatan dipandu lelaki berusia 77 tahun dari arah Sungai Choh menuju ke Rawang.
“Setibanya di lampu isyarat Persiaran Assalam, lori itu membelok ke kanan sebelum mangsa dari arah belakang menyelit di sebelah kiri.
“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan motosikal hilang kawalan dan bergesel dengan lori sebelum mangsa terjatuh lalu digilis,” katanya.
Beliau berkata mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, manakala pemandu lori tidak cedera.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Nurul Anati Zulkifli di talian 03-60641222 atau mana-mana balai polis berhampiran.








