Aroma daun kelapa muda segar, alunan takbir radio lama dan tangan ligat menganyam daun ketupat nasi pernah menjadi suasana biasa setiap kali menjelang Aidilfitri suatu ketika dulu.
Dalam kesibukan menyediakan juadah lain, ketupat nasi menjadi hidangan wajib yang tidak pernah terpisah daripada sambutan raya masyarakat Melayu.
Setiap helaian daun kelapa muda disilang rapi supaya beras yang diisi kekal padat selepas direbus lama. Lazimnya dihidangkan bersama rendang, serunding atau kuah kacang.

Berbeza ketupat palas yang popular di utara dan pantai timur tanah air, ketupat nasi yang berbentuk empat segi menjadi simbol tradisi, kesabaran dan kebersamaan.
Dahulu, malam raya cukup meriah dengan keriuhan menganyam beramai-ramai. Kini, tradisi itu kian terhakis dek kekangan masa selain ada pilihan lebih mudah - ketupat segera.
Namun, masih ada yang mempertahan tradisi demi mengekalkan keaslian dan nilai sentimentalnya. Malah, anyaman kelongsong ketupat kini menjadi sumber pendapatan bermusim yang lumayan menjelang raya.
Bagi suri rumah, Norhashimah Mohd Taib, kemahiran yang diwarisi daripada arwah ibu dan nenek sejak berusia 18 tahun membuka jalan perniagaan berasaskan anyaman ketupat nasi yang diusahakannya dari rumah di Gombak.
“Dulu memang ada bantu arwah ibu dan nenek saya menjual kelongsong ketupat nasi di pasar-pasar. Tapi tidak sangka pula sekarang ia jadi sumber rezeki pula. Bila menganyam memang teringat mereka,” katanya kepada Media Selangor.
Perniagaan itu mulanya dilakukan secara kecil-kecilan, sebelum menerima sambutan meluas terutama selepas pandemik Covid-19. Sejak itu, tempahan meningkat mendadak, bukan sahaja pelanggan individu, malah pemborong dan peniaga pasar.
Norhashimah turut dibantu suami, Mat Awi Maskor, 46, yang boleh menyiapkan antara 500 hingga 1,000 ketupat sehari. Ketika musim perayaan, tempahan boleh mencecah lebih 20,000 biji.
Dia menghasilkan anyaman ketupat jenis duduk atau bawang serta pasar pada harga RM1 setiap kelongsong kosong.
Wanita berusia 39 tahun itu turut menjual ketupat siap beras, siap rebus, serta daun kelapa muda yang biasanya dikutip suaminya yang mahir memanjat pokok kelapa.

“Pada mulanya suami saya memang tidak tahu langsung menganyam, namun bila dia tengok saya tidak menang tangan menyiapkan tempahan, dia pun sama-sama belajar. Kini, saya ada teman menganyam,” katanya.
Tidak terhad kepada musim raya, ibu kepada empat cahaya mata itu menerima tempahan sepanjang tahun bagi penggambaran drama, iklan dan produk makanan.
Dia juga mengambil upah menghasilkan ketupat daripada anyaman reben untuk hiasan pada upah antara RM1.50 hingga RM3.50 seunit bergantung kepada saiz.
Ramai pelanggan mengakui tidak lagi tahu menganyam dan membeli kelongsong untuk mengembalikan nostalgia beraya ketika zaman kecil bersama keluarga.
“Bila ada ketupat nasi ini, kata mereka raya rasa sempurna. Ramai yang mahu merasai nostalgia raya dulu-dulu. Tapi mereka tidak tahu menganyam, sebab itu memilih untuk membelinya.”
Bagi Norhashimah, setiap helai daun kelapa muda yang dianyam bagaikan kesinambungan kenangan arwah ibu dan neneknya yang mengajarnya seni tersebut.

Walaupun mengakui penat apabila menerima tempahan saat akhir, wanita itu bersyukur kerana kemahiran itu menjadi sumber rezeki keluarga setiap kali musim perayaan.
Di sebalik kesibukan memenuhi tempahan hingga lewat malam raya, dia tetap menyimpan harapan agar warisan itu diteruskan generasi seterusnya. Bukan sebagai perniagaan tetapi budaya yang menyatukan keluarga setiap kali tibanya Syawal.
“Ini budaya tradisional dan nenek moyang kita. Jadi, kita kena ambil tahu. Kalau ikutkan memang semua nak mudah, beli sahaja tetapi kemahiran menganyam jika kita kuasai kita akan rasa seronok.
“Jika tidak tahu menganyam tidak mengapa, belajar. Bukan soal tangan berseni atau tidak. Petuanya jika rasa tangan tidak berseni, cuba kosongkan fikiran ketika belajar menganyam, mesti jadi,” katanya.





