SHAH ALAM, 22 MAC: Ziarah ke rumah saudara mara dan jiran tetangga antara amalan yang masih menjadi budaya dalam kalangan masyarakat setiap kali perayaan termasuk Aidilfitri.
Sekalipun amalan berkenaan kini beralih kepada memenuhi undangan rumah terbuka ekoran kesenjangan masa dan gaya hidup, namun nilai ziarah raya masih sukar ditandingi.
Profesor keusahawanan dan kewangan Universiti Asia E berkata kunjungan dari rumah ke rumah memberi peluang mengenali saudara mara dengan lebih dekat.
Dato' Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad menjelaskan tradisi berkenaan membolehkan tetamu berbual lebih lama dengan tuan rumah dalam suasana lebih santai dan erat.

"Tradisi ini bukan sekadar berkunjung untuk menjamu selera, tetapi menjadi ruang menyambung semula ikatan kekeluargaan yang mungkin renggang dek kesibukan kerja dan kekangan masa.
"Tambahan faktor jarak dan kehidupan di bandar turut membataskan pergerakan. Masa yang terhad membuatkan ramai memilih pendekatan lebih praktikal seperti mengadakan rumah terbuka," katanya kepada Media Selangor.
Beliau mengakui perubahan zaman memberi kesan kepada amalan tersebut. Ketiadaan generasi lama antara faktor yang menyebabkan kunjungan raya tidak lagi semeriah dahulu.
Bagaimanapun, Dr Nik Maheran menegaskan, amalan ziarah raya tidak seharusnya dilupakan malah ia perlu diterapkan kepada generasi muda supaya tradisi ini berkekalan.
Fahami adab ziarah
Dalam keterujaan berkunjung, masyarakat diingatkan supaya menjaga adab dan tatasusila bagi mengelakkan rasa kurang selesa tuan rumah ketika menerima tetamu.
Perkara berkenaan ditekankan pempengaruh media sosial dan pelantun suara latar, Nani Roslan, yang masih menjadikan ziarah raya sebagai tradisi sepanjang Syawal.

"Kita perlu tahu adab berziarah, jangan serbu sahaja tanpa bertanya tuan rumah. Nanti kasihan pula mereka perlu fikirkan makan minum kita kemudian kalau dah ziarah jangan pula duduk lama di rumah mereka.
"Anak-anak memang wajib bawa ketika berziarah atau rumah terbuka supaya mereka lebih kenal saudara-mara, penting terapkan pada generasi kini supaya budaya ini tidak pupus," katanya.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Selangor Burhanuddin Daud pula menyifatkan rumah terbuka sebagai wadah perpaduan masyarakat.
Beliau menjelaskan ziarah lebih tertumpu kepada keluarga sementara rumah terbuka biasanya melibatkan individu yang mungkin tiada hubungan kekeluargaan.
"Di sinilah wujudnya elemen keterangkuman. Rumah terbuka juga boleh dianggap sebagai satu bentuk sedekah, asalkan dilaksanakan dengan niat yang baik dan tidak bertujuan menunjuk-nunjuk."
Seorang lagi pempengaruh, Noor Suhaili Mohamed Amin atau lebih dikenali sebagai Auntie Purple, berpendapat rumah terbuka lebih sesuai dalam konteks masa kini meski tempoh pertemuan agak singkat.

Walaupun ramai mengambil peluang merakam gambar dan menghasilkan kandungan digital, beliau melihat perkara tersebut dalam sudut positif selagi ia tidak melampaui batas.
"Kalau dulu, pagi raya biasanya kita bersalaman, ziarah rumah yang dekat-dekat, kemudian berehat. Sekarang pula ramai saudara-mara suka buat kandungan media sosial bersama.
"Mungkin cara ini juga boleh mengeratkan lagi hubungan persaudaraan. Zaman berubah tak semestinya tradisi hilang, cuma caranya yang berbeza," katanya.





