SHAH ALAM, 17 MAC: Seramai 15 pelatih Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) terpilih menyertai Program Biasiswa Kemahiran Industri Tenaga GE Vernova selama lapan bulan hingga September ini.
Program berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik antara GE Vernova bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Persekutuan Malaysia (FMSDC), dalam usaha memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir dalam sektor tenaga.
Menurut kenyataan STDC, inisiatif itu turut melibatkan GE Vernova Foundation dan Assist International bagi menyokong latihan teknikal pelajar yang mengikuti kursus Penjaga Jentera (AO) di institusi berkenaan.
“Program biasiswa ini merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara GE Vernova, GE Vernova Foundation, Assist International dan FMSDC, yang bertujuan menyokong latihan teknikal bagi pelajar yang mengikuti kursus Penjaga Jentera (AO) di STDC.
“Di bawah inisiatif ini, GE Vernova menyediakan sokongan kewangan RM6,000 bagi setiap pelatih, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan biasiswa RM90,000,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, STDC menganjurkan Majlis Pelancaran Program Biasiswa Kemahiran Industri Tenaga GE Vernova di pusat latihan teknikal berkenaan semalam, yang turut dihadiri barisan pimpinan GE Vernova dan Assist International.
Menurut STDC, majlis tersebut melambangkan permulaan rasmi program biasiswa itu selain menonjolkan kepentingan kerjasama industri dalam membangunkan bakat teknikal berkemahiran tinggi kepada sektor tenaga negara.
Tambah kenyataan itu, rakan kerjasama turut diberi peluang melihat sendiri persekitaran latihan teknikal STDC pada majlis tersebut serta berinteraksi secara langsung dengan peserta terbabit.
“Melalui kerjasama ini, STDC bersama rakan industri berhasrat untuk terus memperkukuh latihan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri serta melahirkan generasi baharu profesional teknikal yang akan menyokong pembangunan industri tenaga Malaysia pada masa hadapan,” katanya.
STDC yang dijenamakan semula pada 2020 merupakan institusi pendidikan teknikal yang bernaung di bawah Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sebagai pemegang saham terbesar di dalam syarikat.









