Dua lelaki dicekup seludup senjata api tiruan dari Thailand

17 Mac 2026, 4:49 AM
Dua lelaki dicekup seludup senjata api tiruan dari Thailand
Dua lelaki dicekup seludup senjata api tiruan dari Thailand

SHAH ALAM, 17 MAC: Tindakan seorang jurutera bersama rakannya yang juga pekerja p-hailing menyeludup masuk pelbagai senjata api tiruan dari Thailand membawa padah apabila mereka ditahan polis Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 21 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah Perodua Myvi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kira-kira jam 6 petang.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemukan satu laras senjata api tiruan jenis Carbine Model M4A1 bersama kelopak di bawah tempat duduk pemandu, manakala satu lagi senjata api tiruan model N4 bersama kelopak ditemui di bawah tempat duduk penumpang.

“Pemeriksaan lanjut di bahagian bonet belakang pula menemui lapan kotak mengandungi pistol tiruan bersama kelopak.

“Turut ditemukan tiga kotak kelopak model M4A1, satu kotak kelopak AAP-01 serta dua bungkusan plastik bersaiz besar berisi peluru manik.

“Selain itu, enam bungkusan kecil peluru manik dan 10 botol gas turut dijumpai di dalam kenderaan berkenaan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu hari ini, lapor Harian Metro.

Mohd Radzi berkata, siasatan awal mendapati jurutera terbabit dipercayai menyertai satu kumpulan di aplikasi Telegram sebelum menemui pembeli pistol tiruan tersebut.

Menurutnya, suspek kemudian mengajak rakannya ke Thailand pada 13 Mac lalu sebelum kedua-duanya pulang ke Malaysia keesokan hari.

“Pembelian senjata api tiruan ini dibuat di sekitar Hatyai dengan anggaran kos keseluruhan RM6,500.

“Pistol tiruan dianggarkan berharga sekitar RM900 manakala senapang tiruan pula sekitar RM1,200,” katanya.

Beliau berkata, polis percaya suspek pada awalnya membeli senjata tersebut untuk kegunaan sendiri sebelum bertindak menjualnya selepas mengiklankan di Telegram.

Kedua-dua suspek yang berasal dari Pulau Pinang direman bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, kesalahan memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.