SHAH ALAM, 17 MAC: Seorang pemandu e-hailing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di Seremban hari ini selepas mengaku bersalah membuat hantaran video di media sosial yang dikhuatiri mendatangkan khianat awam.
Tertuduh, P Mahendra Boopathy, 53, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli atas pertuduhan memuat naik video di akaun Facebook miliknya yang boleh menimbulkan kegentaran awam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah hari di Masjid Jamek Dato’ Bandar Hj Ahmad Rasah di Jalan Rasah, Kampung Dato Mansor, Seremban pada 27 Februari lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ketika membuat rayuan, tertuduh memohon agar dikenakan hukuman denda minimum dengan alasan kereta yang digunakan untuk bekerja sedang dibaiki di bengkel selain perlu menanggung seorang anak yang masih bersekolah serta bapanya yang sudah lanjut usia.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut memohon maaf kepada mahkamah dan umat Islam atas perbuatannya.
“Saya minta maaf kepada umat Islam yang mana saya menyebarkan video itu tanpa niat apa-apa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pendakwaan Negeri, Ku Hayati Ku Haron, berkata kenyataan yang dikeluarkan tertuduh boleh menggugat ketenteraman awam di negara ini.
Menurutnya, hukuman yang dikenakan perlu menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak menyentuh isu sensitif berkaitan rumah ibadah mana-mana agama.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.




