Jemu terhadap seni hasil bersifat segera dan visual seragam mendorong kreativiti penghasilan buatan tangan yang lebih akrab dengan emosi, kemahiran dan identiti budaya.
Kecenderungan kepada unsur tradisional itu diterjemah pelukis, Ana Alasri yang menghasilkan sampul raya menggunakan teknik cetakan lino berkonsep 'kuih atas kepala', gabungan watak manusia dan kuih tradisional.
Pendekatan itu bukan sekadar mencuri perhatian dan menghiburkan, malah mengangkat semula warisan kuih-muih tempatan sebagai simbol budaya dan identiti masyarakat Melayu di negara ini.

"Bila orang muak dengan benda yang segera, mereka akan kembali kepada yang tradisional sebab hendak rasa jiwa hasil tangan manusia," katanya kepada Media Selangor.
Meski imbasan kod QR lebih sinonim dan dianggap mudah seiring perkembangan zaman, wanita berusia 30 tahun itu percaya kecintaan terhadap sampul raya fizikal kekal wujud, malah menggamit nostalgia.
"Kalau beri (sampul raya fizikal) pada golongan lebih berusia atau saudara-mara, mereka lebih gembira dan boleh simpan untuk kenangan," katanya lagi.
Idea 'kuih atas kepala' ilham karya artis Simryn Gill yang menggunakan simbol makanan sebagai penyataan identiti dan penzahiran rindu terhadap kampung halaman merubah sudut pandang Ana terhadap jalur seni.

Lahir pada 1959, Simryn Gill adalah artis kontemporari berasal daripada Singapura yang bergiat aktif di Port Dickson, Malaysia dan Sydney, Australia.
Beliau popular lewat karya-karyanya yang menggunakan objek harian, bahan kitar semula dan fotografi dalam meneroka tema berkaitan memori, sejarah dan hubungan manusia dengan persekitaran.
Karya Simryn Gill ada dipamer di muzium berprestij dunia antaranya Tate Modern di London dan Museum of Modern Art di New York.
Mencari kelainan nukilan sesuai beridentiti masyarakat di Malaysia, Ana mengolah inspirasi itu dengan mengangkat kuih tradisional Melayu dan hidangan raya, sekali gus menghubungkan seni dengan asal usul budaya.
Di sebalik gubahan itu, setiap kuih atau hidangan raya termasuk ketupat dan lemang diubah suai sebagai watak manusia dengan keperibadian tersendiri.
Kuih seri muka digambar sebagai watak wanita berseri-seri manakala unsur pakaian dan gaya disesuaikan dengan latar budaya kuih berkenaan termasuk pengaruh Baba Nyonya.
"Saya mahu orang terhibur tengok watak 'kepala kuih', dalam masa sama teringat pada kuih tradisi dan budaya dirinya," kata Ana.
Tuntut kesabaran
Untuk menghasilkannya, beliau menggunakan teknik cetakan lino dengan ukiran pada getah linoleum sebelum dicetak menggunakan dakwat berasaskan air atau minyak.
Setiap sampul diperbuat satu persatu. Ia memakan masa antara dua hingga tujuh hari. Ini sekali gus menjadikannya edisi terhad serta bernilai sebagai karya seni halus.
Wanita itu mengakui proses cetakan tradisional menuntut kesabaran dan ketelitian terutama tempoh pengeringan, kesilapan ukiran serta keperluan kawalan kualiti kerana tidak semua cetakan terus menjadi sempurna. Namun sebenarnya, ketidaksempurnaan kecil tetap boleh sebagai sebahagian kreativiti seni buatan tangan.
"Ada orang tidak kesah dan suka dengan sedikit ketidaksempurnaan sebab kalau terlalu sempurna, ia kelihatan bukan buatan tangan," katanya yang mula menyemai bakat melukis sejak usia enam tahun.

Bagi edisi Aidilfitri kali ini, Ana menyasar penghasilan beberapa rekaan terhad dalam bentuk set dan koleksi, selain menerima tempahan dalam bilangan tertentu.
Beliau mahu menghasilkan 300 keping cetakan dalam bentuk sampul raya, sampul kad raya dan cetakan bersaiz A4. Harga RM25 sekeping berdasarkan proses manual yang memakan masa dan kos bahan.
Ana berharap penghasilan sampul raya artistik itu dapat menyemai semula penghargaan masyarakat terhadap tradisi tempatan, khususnya kalangan generasi muda yang terlalu terdedah kepada pelantar digital.
"Bila orang beli sampul ini, mereka bukan sekadar beli sampul tetapi mereka belajar kenal kuih, budaya dan asal-usulnya," katanya.
Pada masa sama, beliau mendapati sambutan jualan dalam talian lebih menggalakkan berbanding fizikal. Karyanya ada dipasarkan melalui wahana digital dan lokasi terpilih. Sebahagian pembeli juga menjadikannya koleksi tahunan.
Sebagai pengkarya yang menghasilkan sampul raya cetakan lukisan tangan, Ana percaya selagi masyarakat menghargai sentuhan seni halus dan kreativiti buatan tangan, sampul raya cetakan tradisional akan terus hidup walaupun dunia semakin dikuasai teknologi.







