Cahaya pelita panjut hidupkan kembali tradisi raya dahulu kala

17 Mac 2026, 1:01 AM
Cahaya pelita panjut hidupkan kembali tradisi raya dahulu kala
Cahaya pelita panjut hidupkan kembali tradisi raya dahulu kala
Cahaya pelita panjut hidupkan kembali tradisi raya dahulu kala
Cahaya pelita panjut hidupkan kembali tradisi raya dahulu kala
Cahaya pelita panjut hidupkan kembali tradisi raya dahulu kala

Di sebalik warna-warni Aidilfitri yang dihiasi aneka jenis lampu diod pemancar cahaya (LED), seorang pemuda dari Kuala Langat setia menghidupkan Syawal dengan hiasan pelita panjut tradisional.

Di Kampung Kelanang, Banting, tradisi tersebut dihidupkan Pak Tam Pelita Panjut, nama yang tidak asing dalam kalangan masyarakat setiap kali raya menjelma.

Bermula keseronokan menghias rumahnya dengan pelita, Pak Tam atau nama sebenar Khairul Nizam Kamaruddin, 37, mula serius menjadikan kraftangan berasaskan buluh itu sebagai perniagaan sejak tujuh tahun lalu.

Pembuatan pelita panjut bukan sekadar hobi bermusim, sebaliknya usaha beliau untuk menghidupkan kembali tradisi yang kian dilupai generasi baharu.

“Pelita panjut ini warisan orang dulu-dulu. Saya rasa tanggungjawab saya untuk hidupkan balik. Sekarang ramai budak-budak tak kenal pelita panjut,” keluhnya kepada Media Selangor.

Khairul Nizam Kamaruddin, 37, menyusun buluh bagi memudahkan kerja mengecat pada buluh untuk tempahan pelita panjut ketika tinjauan pembuatan pelita panjut di Kampung Kelanang, Kuala Langat pada 3 Mac 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pada awal pembabitan ‘bermain’ dengan buluh, beliau hanya menerima tempahan 500 hingga 600 batang pelita. Jiran dan rakan terdekat menjadi penyokong yang meniup semangat.

Menganjak tahun, sambutan makin menggalakkan. Seperti menanam padi, dituai berasnya, hasil seni Pak Tam menggamit pelanggan dari luar negeri.

“Tahun ini permintaan cecah 2,000 pelita. Ada kalanya semakin dekat nak raya, tempahan lagi banyak,” katanya.

Walaupun pembuatannya hanya dilakukan secara sambilan pada Ramadan tetapi bapa tiga anak itu sentiasa berusaha menambah baik kualiti hasil tangannya.

Pak Tam kemudian melabur modal RM2,000 empat tahun lalu untuk membeli beberapa peralatan termasuk mesin menebuk lubang, memotong dan mengecat buluh.

“Dulu, semua dibuat manual guna parang dan tangan. Sekarang dengan mesin, kerja jadi mudah. Kalau dulu satu pelita siap dalam tempoh 20 hingga 30 minit. Maklumlah guna gergaji.

“Sekarang, satu pelita boleh siap dalam masa satu hingga dua minit sahaja. Kalau pelita bercorak, dalam lima hingga enam minit, memang cepat,” katanya lagi.

Proses mengecat buluh ketika tinjauan pembuatan pelita panjut di Kampung Kelanang, Kuala Langat pada 3 Mac 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Jenis buluh

Buluh pastinya bahan utama untuk menyiapkan panjut. Hutan sekeliling Kampung Kelanang menjanjikan cabaran buat Pak Tam untuk mencari bahan mentah sebelum Ramadan.

Matanya liar memerhati sekeliling rimbunan hijau. Sasarannya Cuma satu, buluh minyak. Biasanya, ia tumbuh di kawasan tropika atau subtropika yang disuluh matahari.

Buluh minyak lazimnya tumbuh dengan cepat, mampu mencapai beberapa meter dalam setahun, menjadikannya tanaman berpotensi untuk hasil ekonomi.

Menurut Pak Tam, buluh minyak yang matang paling sesuai untuk menyiapkan panjut kerana ia lebih tahan panas dan tidak mudah retak berbanding jenis lain.

“Jika dulu saya guna buluh betung tapi ia terlalu tebal. Kalau buluh lemang pula terlalu nipis. Kalau bukan buluh minyak, bila kita cat dan kena panas, dia mudah retak. Buluh minyak lebih kuat dan tahan,” katanya.

Khairul Nizam Kamaruddin, 37, menyusun buluh yang telah siap di cat untuk proses pengeringan ketika tinjauan pembuatan pelita panjut di Kampung Kelanang, Kuala Langat pada 3 Mac 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Murah dan tahan lama, setiap satu pelita panjut dijual pada harga RM15 manakala bercorak RM18. Kedua-duanya dilengkapi lapan sumbu dan juga kaki. Walaupun sukar dan kerap terkena miang buluh, harga itu kekal hingga kini.

“Saya mahu semua orang rasa suasana raya dulu-dulu. Ada pelanggan sampai kata sayang nak bakar sebab cantik sangat,” katanya sambil tersenyum.

Kebanyakan pelanggannya penduduk sekitar Selangor. Kekangan tenaga kerja menyukarkannya menawarkan perkhidmatan dan penghantaran ke luar kawasan.

Di mata Pak Tam, pelita panjut bukan sekadar hiasan tetapi lambang kenangan keceriaan zaman kanak-kanak dan gambaran sebenar kemeriahan sambutan Aidilfitri.

“Bila pasang pelita panjut, suasana dia lain. Lebih tradisional. Budak-budak pun boleh belajar kenal budaya kita,” kata anak watan Kampung Kelanang itu.

Khairul Nizam Kamaruddin, 37, memasukkan menunjukkan pelita panjut ketika tinjauan pembuatan pelita panjut di Kampung Kelanang, Kuala Langat pada 3 Mac 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.