Perjanjian ART Malaysia-AS terbatal, naratif 'jual negara' tidak berasas

16 Mac 2026, 9:47 AM
Perjanjian ART Malaysia-AS terbatal, naratif 'jual negara' tidak berasas

SHAH ALAM, 16 MAC: Naratif bahawa kerajaan “menjual negara” melalui Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) disifatkan tidak lagi berasas selepas perjanjian itu tidak lagi terpakai.

Pengerusi Biro Perpaduan Nasional Selangor David Cheong berkata, pengesahan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa perjanjian itu sudah terbatal menjelaskan kedudukan sebenar isu tersebut.

Menurutnya, keputusan tersebut menunjukkan kerajaan menilai setiap rundingan perdagangan antarabangsa dengan teliti dan mengutamakan kepentingan negara.

“Jika sesuatu perjanjian tidak memberi manfaat yang jelas kepada Malaysia, kerajaan mempunyai ruang untuk tidak meneruskannya.

"Ini membuktikan setiap rundingan perdagangan dinilai berdasarkan kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi Biro Perpaduan Nasional Selangor, David Cheong. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

David yang juga Ahli Dewan Negeri Kajang berkata, naratif yang mendakwa kerajaan “menjual negara” tidak bersandarkan fakta dan berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Semua perjanjian antarabangsa mesti dinilai secara profesional dan mengutamakan kepentingan negara, bukan emosi atau politik sempit,” katanya.

Beliau turut menegaskan rundingan perdagangan antarabangsa lazimnya melalui proses penelitian menyeluruh bagi memastikan kepentingan industri tempatan serta ekonomi negara terus terpelihara.

"(Justeru) Rakyat wajar menilai isu ini berdasarkan fakta dan maklumat yang tepat, bukan percaya kepada neratif yang tidak berasas," katanya.

Semalam, media melaporkan perjanjian ART dimeterai antara Malaysia dan AS pada Oktober tahun lalu tidak lagi terpakai berikutan keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar langkah tarif menyeluruh yang sebelum ini diperkenalkan oleh Presiden AS Donald Trump.

Johari memaklumkan dalam ART ditandatangani tahun lalu itu, Malaysia dikenakan kadar tarif 19 peratus, namun buat masa ini, tarif sementara dikenakan ke atas Malaysia hanya 10 peratus.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.