SHAH ALAM, 16 MAC: Seramai 150 pelajar kurang berkemampuan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 16 di sini menerima sumbangan Aidilfitri daripada Yayasan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) hari ini.
EXCO Belia Mohd Najwan Halimi menyeru lebih banyak syarikat mencontohi KOSMA dengan menyalurkan sumbangan melalui tanggungjawab sosial korporat bagi meringankan beban golongan memerlukan membuat persiapan menyambut hari lebaran.

“Program bersama Yayasan KOSMA ini bukan sahaja meringankan beban keluarga malah turut menceriakan anak-anak dengan menyediakan bantuan yang diperlukan bagi persiapan menyambut Aidilfitri.
“Saya juga mengalu-alukan mana-mana syarikat yang ingin menyalurkan sumbangan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan B40 menghadapi perayaan dengan lebih ceria,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan Aidilfitri beserta bantuan persekolahan daripada Yayasan KOSMA kepada pelajar di SK Seksyen 16.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan KOSMA Dato’ Zamri Mohamed, berkata sumbangan keseluruhan berjumlah RM30,000 itu turut memberi manfaat kepada 107 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

“Yayasan KOSMA komited untuk terus meneruskan usaha membantu golongan memerlukan di seluruh negara sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami,” tambahnya.





