PASIR PUTEH, 16 MAC: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan Ops Khas Pagar Laut 2026 dari 27 Feb hingga 10 April ini bagi memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara sepanjang Ramadan dan Aidilfitri serta mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan.
Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata operasi itu diaktifkan semula susulan pengesanan perubahan modus operandi pihak terlibat dalam kegiatan jenayah rentas sempadan yang menggunakan perairan negara selepas laluan haram di sempadan darat ditutup.
“Kita mendapati ada pihak yang melakukan jenayah ini mengubah modus operandi mereka dengan menggunakan laluan perairan negara bagi menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang... justeru, operasi ini dilaksanakan bagi membendung kegiatan berkenaan.
"Operasi ini turut memberi tumpuan kepada kawasan perairan yang dikenal pasti berisiko tinggi terhadap aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya sepanjang musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Ops Khas Pagar Laut 2026 di sini malam tadi.
Beliau berkata rekod pelaksanaan operasi itu sebelum ini membuktikan keberkesanan pendekatan bersepadu menerusi kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan dalam mengekang pencerobohan, penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin ke Malaysia.
“Sepanjang tahun lepas, APMM merekodkan empat kes tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kastam 1967 dengan nilai rampasan berjumlah RM1.46 juta,” katanya.
Kamal juga berkata pihaknya akan terus memperkukuh pemantauan di perairan Kelantan termasuk kawasan berhampiran sempadan bagi memastikan tiada unsur pencerobohan atau aktiviti menyalahi undang-undang berlaku sepanjang tempoh operasi dilaksanakan.
Beliau berkata tahap kesiapsiagaan anggota dan aset turut dipertingkat menerusi penugasan berterusan, rondaan berjadual serta operasi berasaskan maklumat risikan bagi membolehkan tindakan segera diambil terhadap sebarang ancaman yang dikesan.
“Kejayaan Ops Khas Pagar Laut ini amat bergantung kepada kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan selain sokongan komuniti maritim serta pengorbanan pegawai dan anggota bagi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.







