10 individu ditahan, pelbagai barangan termasuk petrol bernilai lebih RM4.9 juta dirampas

15 Mac 2026, 3:09 PM
10 individu ditahan, pelbagai barangan termasuk petrol bernilai lebih RM4.9 juta dirampas

PUTRAJAYA, 15 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan 10 individu serta merampas pelbagai barangan termasuk petrol yang dianggarkan bernilai lebih RM4.9 juta menerusi Ops Tiris di Pelabuhan Johor Rabu lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata hasil maklumat risikan, pegawai Bahagian Penguat Kuasa, Putrajaya bersama KPDN Johor menahan sebuah lori tangki yang sedang memindahkan barang kawalan ke sebuah kapal tangki yang sedang berlabuh.

Beliau berkata hasil pemeriksaan awal mendapati beberapa tangki di dalam kapal berkenaan mengandungi cecair petroleum yang disyaki minyak petrol.

“Pemeriksaan lanjut mendapati petrol itu disimpan di dalam empat tangki utama kapal dengan anggaran kuantiti keseluruhan 929,124 liter dianggarkan bernilai RM2.6 juta.

“Dalam operasi itu, sembilan warga asing dan seorang warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata KPDN telah bertindak menyita kapal tangki, lori tangki, minyak petrol yang disyaki serta beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemindahan petroleum termasuk hos getah, dokumen penghantaran dan dokumen kapal minyak bagi tujuan siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM4,902,952.13 dan kes disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.