SHAH ALAM, 20 MAC: Pesakit obesiti merupakan antara individu yang berisiko mengalami microsleep atau sindrom tertidur seketika waktu memandu sekali gus meningkatkan risiko kemalangan di jalan raya.
Menurut Pakar Perubatan Dalaman dan Respiratori KPJ Klang Specialist Hospital keadaan itu berkait rapat dengan gangguan tidur yang sering dialami oleh golongan obesiti.
Dr Affida Ahmad berkata gangguan seperti Obstructive Sleep Apnoea (OSA) dan Obesity Hypoventilatory Syndrome (OHS) boleh menyebabkan tidur seseorang tidak berkualiti walaupun tempoh tidur mencukupi.
"Sesetengah individu masih mengantuk walaupun waktu tidur mencukupi kerana ia tidak berkualiti disebabkan penyakit tertentu yang mengganggunya termasuk obesiti.

"Tidur menjadi tidak berkualiti kerana saluran pernafasan banyak kali tertutup, oksigen gagal sampai ke otak sehingga mengakibatkan individu berasa lesu apabila bangun.
"Selain itu, mereka yang mengambil ubat mengantuk, individu tidak cukup tidur, bekerja syif termasuk yang memandu dalam jarak jauh antara berisiko tinggi mengalami microsleep," katanya ketika ditemu bual dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya masyarakat memandang ringan tanda-tanda awal microsleep membahayakan pemandu serta pengguna jalan raya lain.
Menurutnya, antara tanda-tanda microsleep adalah mata kuyu, tersengguk, menguap banyak kali dan tindak balas menjadi perlahan.
"Simptom seperti ini sering diabaikan walaupun ada yang terlepas papan tanda dan memasuki lorong salah. Malah, ada yang memaksa diri meneruskan pemanduan sedangkan ia adalah amaran supaya kita berhenti dan berehat," ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut menjelaskan memasang radio dengan kuat bukanlah penyelesaian sebenar untuk mengatasi rasa mengantuk ketika memandu.
"Makan, berbual dan mendengar radio ia hanya bantu sementara sahaja. Apabila fungsi otak kita sudah mengantuk, apa sahaja stimulasi hanya perlahankan sahaja, tidak buat kita berasa segar semula.
"Risiko mengalami microsleep masih tinggi, jadi disarankan tidur seketika, jangan teruskan memandu walaupun mengantuk," katanya.
Microsleep dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya apabila pemandu tertidur seketika sehingga hilang tumpuan terhadap pemanduan.
Di Malaysia, keadaan itu dianggarkan menyumbang kira-kira 20 peratus kes kemalangan termasuk kematian setiap tahun.
https://mediaselangor.com/ms/2026/02/344563
Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), microsleep berlaku akibat keletihan dan kelesuan terutama ketika musim perayaan yang melibatkan perjalanan jauh dan tempoh pemanduan panjang.
Sementara itu, sehingga 14 Mac 2026 sebanyak 2,103 kes kemalangan direkodkan dengan 12 kematian.











