50 kapal diperiksa, dua bot fiber ditahan di perairan Pelabuhan Klang

15 Mac 2026, 8:21 AM
50 kapal diperiksa, dua bot fiber ditahan di perairan Pelabuhan Klang
50 kapal diperiksa, dua bot fiber ditahan di perairan Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 15 MAC: Sebanyak 50 kapal pelbagai jenis diperiksa dalam operasi khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di sekitar perairan Pelabuhan Klang bagi membanteras penyeludupan barangan kawalan.

Operasi selama tiga hari yang bermula 11 Mac itu turut memberi tumpuan kepada jeti barter trade dan jeti persendirian yang menjalankan aktiviti perdagangan melibatkan barangan kawalan.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata operasi berkenaan bukan sahaja menguatkuasakan Akta Kawalan Bekalan 1961, malah turut memperluas skop pemeriksaan kepada pematuhan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

“Jadi mungkin pemahaman kepada peniaga dan pedagang ini, mereka nampak akta berkenaan hanya terpakai di premis perniagaan di darat, tetapi sebenarnya akta itu merangkumi semua perniagaan sama ada di darat atau di perairan,” katanya pada sidang media di atas kapal KM Bagan Datuk, lapor BuletinTV3.

Menurutnya, operasi itu turut memberi tumpuan kepada kapal dagang dari dalam dan luar negara yang menjalankan aktiviti perdagangan di pelabuhan utama termasuk Northport dan Westport.

Sepanjang pemeriksaan dijalankan, advokasi serta amaran turut diberikan kepada pengendali kapal supaya memastikan setiap alat timbang dan sukat yang digunakan ditentusahkan serta masih dalam tempoh sah.

Dalam operasi sama, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor turut menahan dua bot fiber yang beroperasi dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah Maritim Selangor, Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata kedua-dua bot itu ditahan selepas didapati melakukan kesalahan berkaitan lesen operasi.

Pemeriksaan mendapati salah satu vesel membawa empat batang pokok yang menurut tekong bertujuan ditanam di kawasan perairan Sungai Janggut, manakala sebuah lagi vesel tidak mempunyai nombor pendaftaran dan membawa tujuh warga asing berumur antara 22 hingga 45 tahun yang dipercayai bertindak sebagai tenaga kerja bagi aktiviti penanaman pokok berkenaan.

Bagaimanapun, pemeriksaan dokumentasi mendapati enam daripada warga asing itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala seorang lagi mempunyai dokumen lengkap.

“Kes bagi vesel pertama disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menjalankan aktiviti selain menangkap ikan.

“Manakala vesel kedua disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana tidak mempunyai dokumen serta nombor pendaftaran,” katanya.

Beliau berkata enam warga asing yang tidak memiliki dokumen sah pula disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.