Kerajaan umum cuti tambahan Aidilfitri, bergantung tarikh 1 Syawal - PM

15 Mac 2026, 6:09 AM
Kerajaan umum cuti tambahan Aidilfitri, bergantung tarikh 1 Syawal - PM

KOTA KINABALU, 15 MAC: Kerajaan bersetuju memberikan satu hari cuti tambahan bersempena dengan sambutan Aidilfitri tahun ini bagi menghargai usaha dan dedikasi rakyat yang bekerja keras sepanjang bulan Ramadan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata penetapan tarikh cuti tambahan itu bagaimanapun tertakluk kepada tarikh pengisytiharan 1 Syawal kelak.

Perdana Menteri berkata sekiranya Aidilfitri disambut pada Jumaat atau 20 Mac, kerajaan akan menetapkan Isnin (23 Mac) sebagai cuti tambahan.

“Sebaliknya, kalau Hari Raya jatuh pada Sabtu (21 Mac), maka cuti tambahan adalah pada Jumaat (20 Mac),” katanya ketika berucap merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh.

Anwar berkata keputusan kerajaan mengumumkan pemberian cuti tambahan itu lebih awal bertujuan memudahkan rakyat di seluruh negara merancang perjalanan masing-masing.

“Kita beri cuti Aidilfitri ini kerana lihat semua sudah kerja kuat pada bulan Ramadan ini, raikan Aidilfitri ini dengan penuh ceria bersama dengan keluarga tercinta,” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026 selama 15 hari, bermula 14 Mac, yang meliputi tempoh tujuh hari sebelum dan tujuh hari selepas perayaan bagi memastikan kestabilan harga barangan keperluan.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah mengenal pasti jenis barangan yang dikawal mengikut lokasi, iaitu 24 barangan di Semenanjung, 23 barangan di Sabah dan Sarawak serta 22 barangan di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Beliau juga berkata terdapat sedikit cabaran kenaikan harga melibatkan cili merah berikutan gangguan bekalan susulan banjir besar yang melanda negara pengeksport, iaituThailand.

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri menasihati pengguna agar mempertimbangkan penggunaan cili kering sebagai alternatif sementara kementerian memperinci senarai barangan kawalan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.