SHAH ALAM, 15 MAC: Empat lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di jajaran MRT Laluan Putrajaya berjaya diberkas polis menerusi satu operasi khas baru-baru ini.
Menurut Prasarana Malaysia Berhad, tangkapan dibuat hasil kerjasama Unit Polis Bantuan Prasarana dan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor menerusi maklumat risikan serta operasi intipan yang dijalankan.
“Kesemua suspek berusia antara 30 hingga 45 tahun telah dibawa ke lokasi kejadian bagi tujuan pengecaman dan membantu siasatan berkaitan barang kes yang ditemui.
“Tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dikemukakan oleh Prasarana berhubung kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Sri Damansara Barat pada 3 Mac lalu,” menurut kenyataan syarikat itu hari ini.
Prasarana memaklumkan insiden berkenaan menyebabkan gangguan kepada operasi perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya selama tiga hari sekali gus menjejaskan perjalanan ribuan pengguna pengangkutan awam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Amir Hamdan berkata kerjasama antara Polis Bantuan Prasarana dan pihak polis akan terus diperkukuh bagi membanteras kegiatan kecurian kabel yang menjejaskan infrastruktur pengangkutan awam negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas tindakan pantas dan profesional dalam memberkas suspek serta mempercepatkan proses siasatan.
“Pada masa sama, Prasarana akan meningkatkan langkah keselamatan di sepanjang jajaran MRT Laluan Putrajaya termasuk mempergiat rondaan keselamatan, pemantauan serta kerjasama strategik dengan pihak berkuasa.
“Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan kemudahan pengangkutan awam,” katanya.








