SHAH ALAM, 15 MAC: Penganjuran Selangor Havoc Raya Fest 2026 disifatkan sebagai platform terbaik kepada usahawan kecil untuk memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat sekali gus mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi.
Pembekal dan pembuat sambal sedia dimakan, Raja Nor Baizura Raja Idris, 40, berkata penyertaannya dalam festival berkenaan memberi peluang kepada usahawan sepertinya memperluaskan pasaran berbanding sebelum ini hanya beroperasi secara dalam talian.
Menurutnya, perniagaan yang diusahakan sejak 2023 itu menyertai festival tersebut buat kali kedua selepas melihat keberkesanannya dalam membantu memperkenalkan produk kepada pelanggan.

“Melalui program seperti ini, saya juga dapat mengaktifkan semula jualan secara luar talian dan berinteraksi secara langsung dengan pelanggan,” katanya kepada Media Selangor di Selangor Havoc Raya Fest 2026 di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, kelmarin.
Beliau menggalakkan lebih ramai usahawan kecil merebut peluang menyertai festival seumpama itu bagi memperkembangkan lagi perniagaan masing-masing.
Sementara itu, Juriah Julaihi dari Lentooq Malaysia yang mewakili Kedai Melissa (M) Sdn Bhd berkata penyertaan kali pertama dalam festival tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan promosi serta menarik pelanggan baharu.
Menurutnya, syarikat itu menawarkan pelbagai produk kelengkapan tidur seperti cadar dan bantal organik dengan promosi khas sepanjang festival berlangsung.

“Acara seperti ini sangat bagus kerana memberi manfaat kepada usahawan di Selangor untuk mempromosikan produk. Orang ramai jemputlah datang ke festival ini, banyak jualan ditawarkan dengan potongan harga yang sangat berbaloi,” katanya.
Bagi usahawan muda, Nurul Athirah Azhar, 23, yang menjual barangan HVC Merchandise pula berkata festival tersebut memberi peluang kepada peniaga memperkenalkan rekaan baharu setiap tahun kepada pelanggan.
Menurutnya, penyertaan kali kedua itu juga membuktikan sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila terdapat pelanggan yang membuat pembelian berulang.

“Setiap tahun kami akan keluarkan rekaan baharu dan ada pelanggan yang datang semula untuk membeli. Festival ini juga menarik kerana berlangsung selama 96 jam tanpa henti, sekali gus memudahkan orang ramai datang membeli-belah sempena persiapan Aidilfitri.
“Malah terdapat pelbagai aktiviti menarik seperti cabutan bertuah yang menambah kemeriahan kepada pengunjung,” katanya.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat ke festival tersebut. Keberangkatan baginda disambut oleh EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi, yang turut bersama dalam acara perasmian festival itu.
Kehadiran Baginda menceriakan peniaga dan pengunjung yang hadir ke festival yang berlangsung 96 jam tanpa henti, mulai 12 hingga 16 Mac itu.







