Guru Besar ditahan bantu siasatan kes pukul murid Tahun Satu

14 Mac 2026, 10:52 AM
Guru Besar ditahan bantu siasatan kes pukul murid Tahun Satu

JOHOR BAHRU, 14 MAC: Polis menahan seorang guru besar bagi membantu siasatan berkaitan kes memukul seorang murid lelaki Tahun Satu sehingga menyebabkan kecederaan, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Radin Ramlan Radin Taha berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 40 tahun yang merupakan bapa kepada kanak-kanak itu, kira-kira pukul 9.46 pagi.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai dipukul lelaki berumur 48 tahun itu semasa berada di kantin sekolah kira-kira 7.39 pagi, hari yang sama.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada bahagian siasatan jenayah menahan lelaki tersebut di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara pada 4.55 petang bagi membantu siasatan.

"Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan juga didapati negatif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Radin Ramlan berkata suspek telah dibawa ke mahkamah di sini pada Rabu dan direman tiga hari hingga semalam, sebelum dibenarkan bebas dengan jaminan polis.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, tular satu hantaran di laman Facebook yang dimuat naik pemilik akaun Isu Semasa Online memaparkan perkongsian mengenai kejadian berserta foto seorang kanak-kanak lelaki yang cedera.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.