SHAH ALAM, 15 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merekodkan sebanyak 23 kes tidak menghormati bulan Ramadan melibatkan kesalahan makan di tempat awam setakat ini.
Pengarahnya, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya menjalankan pemantauan di gerai serta kedai makan selain menumpukan pemeriksaan di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’.
Menurutnya, tindakan tersebut dilaksanakan bagi memastikan umat Islam mematuhi tuntutan serta menjaga kesucian bulan Ramadan.
“Terdapat 23 kes berkaitan tidak menghormati Ramadan dengan kesalahan makan di tempat awam setakat ini,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata pemantauan turut dilakukan susulan aduan yang diterima daripada orang ramai berhubung perbuatan tidak menghormati Ramadan.
Menurutnya, berdasarkan Seksyen 19 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berkaitan kesalahan tidak menghormati Ramadan, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Manakala bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau dipenjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.
“Tiada tindakan bawa orang disyaki menggunakan van jenazah dilakukan,” katanya.
Mohd Shahzihan berkata, JAIS turut mempergiat usaha memberi peringatan kepada masyarakat mengenai kepentingan menghormati bulan Ramadan melalui pelbagai medium termasuk khutbah Jumaat.
Selain itu, katanya, masjid dan surau di seluruh Selangor turut menganjurkan program tazkirah sebagai salah satu usaha meningkatkan kesedaran serta penghayatan terhadap kelebihan bulan Ramadan.







