SHAH ALAM, 14 MAC: Konflik berterusan di rantau Teluk boleh meningkatkan kos penerbangan untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri berkata Tabung Haji telah mengambil langkah awal mengadakan rundingan dengan beberapa syarikat penerbangan bagi memastikan kos penerbangan tidak meningkat secara mendadak, lapor Harian Metro.
Jelas beliau, rundingan membabitkan beberapa syarikat penerbangan termasuk syarikat tempatan dan luar negara terutamanya dari Arab Saudi.
"Keputusan mengenai kos penerbangan haji hanya akan diumumkan oleh pihak Tabung Haji atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selepas rundingan selesai.
"Kerajaan sedang memantau rapat perkembangan konflik di rantau Teluk kerana sekiranya krisis berpanjangan, ia boleh memberi risiko kepada rantaian bekalan global termasuk kos penerbangan mengerjakan ibadah haji," katanya ketika ditemui pada Program Sumbangsih, Santunan Kasih Seindah Syawal anjuran Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching, Sarawak hari ini.
Fadillah turut berharap usaha diplomatik termasuk peranan Malaysia sebagai perantara dapat membantu meredakan konflik dan memastikan laluan strategik seperti Selat Hormuz kembali dibuka sepenuhnya bagi melancarkan pergerakan perdagangan dan pengangkutan antarabangsa.
Menurutnya, peningkatan harga minyak dunia akibat krisis geopolitik akan menyebabkan kos insurans dan logistik meningkat, yang akhirnya memberi kesan kepada kos pengangkutan udara dan laut, sekali gus memberi impak kepada barangan yang diimport ke negara ini, malah turut mempengaruhi kos pergerakan dalam negara termasuk perjalanan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
"Apabila harga bahan api meningkat, syarikat penerbangan akan mengenakan caj tambahan bahan api bagi penerbangan domestik dan antarabangsa. Ia akhirnya akan memberi kesan kepada harga barangan serta kos perjalanan rakyat termasuk untuk menunaikan ibadah haji," katanya.
Justeru, beliau menasihatkan rakyat supaya mengamalkan langkah penjimatan dan menggunakan tenaga secara berhemah bagi mengurangkan penggunaan bahan api negara.
"Pengurangan penggunaan minyak dan gas akan membantu memanjangkan tempoh simpanan tenaga negara sekali gus meningkatkan ketahanan Malaysia dalam menghadapi sebarang krisis bekalan," katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan kedudukan ekonomi dan kewangan negara ketika ini masih berada pada tahap yang baik untuk menghadapi kemungkinan ketidaktentuan global.
"Jika dibandingkan dengan beberapa negara lain di rantau ini, kita masih mampu bertahan, namun langkah berjaga-jaga tetap perlu diambil," katanya.








