TrueCare2U dan KWAP jalin kerjasama strategik perluas akses perkhidmatan kesihatan di rumah buat pesara

13 Mac 2026, 5:02 AM
TrueCare2U dan KWAP jalin kerjasama strategik perluas akses perkhidmatan kesihatan di rumah buat pesara
TrueCare2U dan KWAP jalin kerjasama strategik perluas akses perkhidmatan kesihatan di rumah buat pesara
TrueCare2U dan KWAP jalin kerjasama strategik perluas akses perkhidmatan kesihatan di rumah buat pesara

CYBERJAYA, 13 MAC: TrueCare2U, subsidiari di bawah Avisena Healthcare, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dalam satu majlis yang berlangsung di Cyberjaya.

Kerjasama strategik ini membuka lembaran baharu dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan di rumah (home healthcare) kepada pesara kerajaan di seluruh Malaysia.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Muhamad Hafiz Abas, Pemangku Ketua Pegawai Perkhidmatan Persaraan KWAP, serta Elina Nadia Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Avisena Healthcare, yang mewakili pihak TrueCare2U.

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Elina menegaskan komitmen TrueCare2U dalam memainkan peranan sebagai rakan strategik KWAP bagi memperluaskan akses perkhidmatan penjagaan kesihatan di rumah kepada komuniti pesara.

Beliau turut menjelaskan bahawa perkhidmatan TrueCare2U kini dipaparkan dalam aplikasi MyPesara, sebuah platform yang digunakan oleh pesara bagi mendapatkan maklumat dan kemudahan berkaitan manfaat persaraan mereka.

Inisiatif ini membolehkan pesara mengakses maklumat mengenai perkhidmatan seperti lawatan doktor ke rumah, penjagaan kejururawatan di rumah dan fisioterapi secara lebih tersusun, mudah dan selamat.

“Integrasi ini memberi kemudahan kepada pesara kerajaan untuk mengakses pelbagai khidmat perubatan profesional dengan lebih efisien, sekaligus memastikan pemantauan kesihatan yang berterusan dapat dilakukan dalam persekitaran rumah yang selesa.

Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan harian pesara, malah mempromosikan kualiti penjagaan yang lebih inklusif bagi golongan warga emas di Malaysia,” ujar beliau.

Elina juga turut menjelaskan bahawa inisiatif dua hala ini merupakan langkah proaktif dalam mendepani perubahan demografi negara.

"Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua menjelang tahun 2048 apabila peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas dijangka mencapai kira-kira 14 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Seiring dengan peningkatan keperluan penjagaan kesihatan, perkhidmatan kesihatan di rumah kini menjadi semakin penting bagi memastikan pesara menerima rawatan berterusan tanpa memberi tekanan tambahan kepada hospital dan klinik,” jelas Elina.

Sebagai langkah untuk meningkatkan pengalaman penjagaan kesihatan komuniti pesara, kerjasama ini turut menawarkan keistimewaan khas kepada pesara yang membuat tempahan melalui aplikasi TrueCare2U.

Selain penyediaan rawatan di rumah, kedua-dua pihak juga akan melaksanakan program kesedaran kesihatan serta inisiatif lain bagi memastikan pesara menerima maklumat dan akses perkhidmatan dengan lebih teratur.

Kerjasama ini mencerminkan usaha berterusan TrueCare2U dan KWAP dalam memastikan pesara menerima sokongan perubatan berkualiti tanpa perlu meninggalkan keselesaan kediaman mereka.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.