Kes rempuh motosikal di Kapar: Peniaga didakwa bunuh

13 Mac 2026, 4:00 AM
Kes rempuh motosikal di Kapar: Peniaga didakwa bunuh

KLANG, 13 MAC: Seorang peniaga yang merempuh dua lelaki bermotosikal menggunakan kenderaan pacuan empat roda sehingga mengakibatkan pemboncengnya maut di Kapar, Klang minggu lepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh.

R. Ganesalingam, 49, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Karthiyayini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki terbabit didakwa membunuh dan menyebabkan kematian ke atas K. Tinesh Kumar, 33, di hadapan simpang masuk Taman Seri Kapar, Batu 12, Jalan Keretapi Lama Off Jalan Kapar, Klang pada 9.47 pagi, 5 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Syuhada Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 April untuk laporan forensik.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan kematian seorang daripada dua lelaki bermotosikal yang cedera dirempuh kenderaan pacuan empat roda selepas melepaskan tembakan di Taman Seri Kapar, Klang pada pagi 5 Mac.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku apabila kedua-dua lelaki itu melepaskan tembakan ke arah pekerja pemandu kenderaan pacuan empat roda itu di Kampung Perepat, Kapar dan susulan itu suspek (pemandu pacuan empat roda) bertindak mengejar motosikal tersebut hingga ke Jalan Keretapi Lama.

Shazeli berkata semakan mendapati pemandu pacuan empat roda iaitu lelaki tempatan berusia 49 tahun mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah di bawah Seksyen 302 dan Sekyen 307 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, tular menerusi media sosial video berdurasi 13 saat memaparkan seorang lelaki terbaring di jalan raya dipercayai berkaitan dengan kes tembak.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.