SHAH ALAM, 13 MAC: Aplikasi iClean Selangor merekodkan kira-kira 300,000 pengguna berdaftar setakat ini bagi memudahkan orang ramai menyalurkan aduan berkaitan pengurusan sisa pepejal di seluruh negeri.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEB Waste Management, Ahmad Rizal Mohd Daud berkata aplikasi itu menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengguna termasuk membuat aduan, mengemukakan cadangan serta permintaan bagi perkhidmatan kutipan sampah.
Menurutnya, penggunaan aplikasi berkenaan turut memudahkan proses merekod aduan, membuat susulan dan menyelesaikan isu yang dilaporkan pengguna dengan lebih teratur.
“Dengan aplikasi ini banyak perkara menjadi lebih mudah termasuk merekod, membuat susulan dan menyelesaikan isu yang dilaporkan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Santunan Ramadan Bersama Pekerja Sektor Pembersihan yang dianjurkan Yayasan Amal ASAS dengan kerjasama KDEB Waste Management melalui anak syarikatnya KDEB ICI Sdn Bhd di Shah Alam.
Dalam program itu, seramai 100 pekerja terdiri daripada pemandu lori, kelindan dan pekerja pembersihan menerima sumbangan barangan keperluan asas.
iClean Selangor adalah aplikasi yang membolehkan penduduk di Selangor membuat sebarang aduan mengenai kutipan sisa pepejal sama ada sampah domestik, pukal atau pembersihan awam.
Aplikasi iClean Selangor yang diperkenal pada 2016 menerima pengiktirafan dalam Majlis Anugerah PC.Com 2024 iaitu Aplikasi Perkhidmatan Awam Terbaik.










