Bayi antara tiga maut kemalangan dua kenderaan

12 Mac 2026, 10:04 AM
Bayi antara tiga maut kemalangan dua kenderaan

SHAH ALAM, 12 MAC: Tiga individu termasuk seorang bayi berusia tujuh bulan maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di simpang Jalan Bunga Kertas, Bukit Sentosa, Hulu Selangor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 9.45 pagi.

Menurutnya, nahas tersebut membabitkan sebuah kereta dan motosikal.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika motosikal dari arah Taman Widuri menuju ke Sungai Choh.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta dari arah bertentangan dipercayai membelok ke kanan menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi,lapor Berita Harian.

Beliau berkata dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mereka ialah penunggang motosikal berusia 25 tahun yang bekerja sebagai jurujual dan penumpang tempat duduk belakang kereta iaitu seorang wanita warga emas berusia 88 tahun.

“Pemandu dan penumpang hadapan kereta, masing-masing lelaki dan wanita berusia 60 tahun, mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Menurut Ibrahim, bayi lelaki berusia tujuh bulan yang dipangku penumpang belakang turut cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital sama kira-kira jam 11 pagi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 03-60641222,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.