SHAH ALAM, 12 MAC: Jumlah kenderaan di lebuh raya kendalian Plus Malaysia Berhad (PLUS) dijangka mencecah 2.3 juta pada hari puncak Aidilfitri minggu depan, pertambahan sebanyak 21 peratus berbanding purata harian.
Pengarah Urusannya Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata hari puncak perjalanan adalah pada 18, 19, 20, 27, 28 dan 29 Mac, lapor Berita Harian.
"Trend berkenaan selari dengan peningkatan trafik yang dicatatkan sempena Tahun Baharu Cina lalu apabila jumlah kenderaan pada waktu puncak sehari, melebihi dua juta," katanya pada Majlis Taklimat dan Sidang Media Persediaan PLUS menguruskan peningkatan trafik sempena musim Hari Raya 2026 di PERSADA PLUS, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali; Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dan Ketua Pegawai Komersial PLUS, Mohd Fauzi Puniran.
Berikutan itu, Nik Airina meminta orang ramai merancang perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke Lembah Klang berpandukan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA melalui aplikasi PLUS.
Katanya, MyPLUS- TTA boleh diakses bagi perjalanan di Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai-Timur 2 (LPT2) di antara 18 Mac hingga 30 Mac 2026.
"Berdasarkan trend perjalanan perayaan lalu dan jangkaan trafik musim perayaan tahun ini, pengguna lebuh raya dijangka mengalami tempoh waktu perjalanan lebih panjang semasa musim perayaan sekiranya memulakan perjalanan di luar waktu dicadangkan oleh MyPLUS TTA.
"Namun, ianya juga bergantung kepada keadaan trafik semasa, insiden atau hal-hal luar jangka.
"Oleh itu, PLUS menasihatkan orang ramai supaya merancang dan menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan MyPLUS-TTA untuk pulang ke kampung dan kembali semula ke Lembah Klang selepas bercuti," katanya.
Nik Airina menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal selain mematuhi cadangan waktu perjalanan MyPLUS-TTA, selain memastikan kenderaan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan dan memandu dengan berhemah.
"PLUS turut mengingatkan kepada orang ramai supaya mematuhi undang-undang lalu lintas dengan meletakkan kenderaan di ruang parkir yang disediakan apabila berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R), plaza tol dan hentian sebelah bagi mengurangkan gangguan kelancaran lalu lintas.
"Kami berharap semua pengguna dapat menikmati pengalaman perjalanan yang selamat dan selesa bagi meraikan sambutan Aidilfitri tahun ini bersama keluarga tersayang dengan penuh kegembiraan," katanya.








