Kerajaan sasar 90 peratus SSR daging khinzir menjelang 2030

12 Mac 2026, 5:00 AM
Kerajaan sasar 90 peratus SSR daging khinzir menjelang 2030

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Kerajaan menyasarkan kadar sara diri (SSR) daging khinzir meningkat kepada 90 peratus menjelang 2030 berbanding 67.8 peratus pada 2024, selaras dengan usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata kadar itu menunjukkan sebahagian daripada keperluan domestik masih bergantung pada bekalan import bagi menampung permintaan pasaran.

Beliau berkata pengeluaran tempatan terus diperkukuh melalui beberapa langkah termasuk pengeksportan khinzir hidup dari Sarawak ke Semenanjung serta mempertingkatkan pencegahan penyakit haiwan dan zoonotik bagi menaikkan produktiviti ladang.

“Bagi menangani impak turun naik harga dedak ternakan global terhadap kos pengeluaran dan harga pasaran, pemantauan berterusan dilaksanakan terhadap harga jualan khinzir hidup pada peringkat ladang serta kos dedak ternakan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Chan berkata pada 2025, harga purata khinzir hidup di ladang ialah kira-kira RM17.80 sekilogram dan kerajaan turut menggalakkan penanaman jagung bijian secara berskala besar dan komersial dalam negara bagi mengurangkan 30 peratus kebergantungan pada jagung import menjelang 2040.

Sementara itu, Chan berkata kerajaan menggalakkan transformasi industri penternakan khinzir ke arah penternakan moden melalui pelaksanaan sistem ladang tertutup, yang dapat meningkatkan kawalan penyakit serta mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Beliau berkata penternak yang menukar ladang terbuka kepada sistem ladang tertutup layak menerima insentif galakan cukai termasuk Elaun Modal Dipercepat dan pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 2023 hingga 2027.

Beliau berkata teknologi moden seperti loji biogas yang memproses sisa ternakan juga mampu mengurangkan kesan bau dan pencemaran alam sekitar, seperti yang dilaksanakan di Kampung Selamat, Pulau Pinang baru-baru ini.

Chan berkata kementerian terbuka meneliti model penternakan moden di negara lain bagi menambah baik pembangunan industri khinzir tempatan.

Beliau berkata di Sarawak, sebuah kawasan Pig Farming Area (PFA) telah diwujudkan dan kerajaan merancang memperluas kepada tiga kawasan lagi bagi memperkukuh pembangunan industri berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.