SHAH ALAM, 12 MAC: Selangor Government Data Exchange (SelGDX) di bawah kendalian Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menerima pengiktirafan pada Festival of Innovation Awards 2026 anjuran GovInsider Asia Pacific yang berlangsung di Sands Expo and Convention Centre, Singapura.
Festival yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan pemimpin industri, pakar dasar agensi kerajaan serta pakar teknologi dari seluruh sektor awam dunia bagi meraikan kecemerlangan transformasi digital sektor awam di peringkat antarabangsa.
Di majlis berkenaan, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Mohd Yazid Sairi menerima anugerah Digital Leader of The Year Award di bawah kategori Individual Awards.
Dalam masa sama, pasukan SelGDX turut menerima anugerah Digital Agency of The Year Award di bawah kategori Whole-of-Government (WOG) Award.
Kedua-dua anugerah berkenaan disampaikan oleh Pengarah GovInsider Asia Pacific, Tyler Lim.
SelGDX menjadikan Selangor sebagai negeri pertama di Malaysia yang mempunyai platform perkongsian data merentas agensi sekali gus memperkukuh pembangunan infrastruktur digital pintar negeri.
Pengiktirafan di peringkat global itu turut meningkatkan profil serta kredibiliti Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha memperkasakan transformasi digital sektor awam.
Selain itu, kejayaan berkenaan dijangka menjadi penanda aras kepada negeri lain dalam membangunkan inisiatif perkongsian data yang mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.







