Gunung Semeru meletus empat kali, muntahkan abu setinggi 600 meter

12 Mac 2026, 4:43 AM
Gunung Semeru meletus empat kali, muntahkan abu setinggi 600 meter
Gunung Semeru meletus empat kali, muntahkan abu setinggi 600 meter

JAKARTA, 12 MAC: Gunung Semeru yang terletak di sempadan wilayah Lumajang dan Malang di Jawa Timur, meletus sebanyak empat kali pada Khamis dengan memuntahkan awan yang mengandungi abu kira-kira 600 meter di atas puncaknya.

Menurut pegawai Pos Pemerhatian Gunung Semeru Liswanto, letusan pertama berlaku pada 12.27 tengah malam Waktu Indonesia Barat (WIB), diikuti satu lagi pada 12.31 tengah malam, namun awan mengandungi abu daripada letusan itu tidak dapat diperhatikan secara visual.

“Gunung Semeru meletus sekali lagi pada 5.28 pagi WIB dengan lajur abu diperhatikan mencapai sekitar 600 meter di atas puncak, atau kira-kira 4,276 meter dari aras laut,” katanya seperti dipetik Agensi Berita ANTARA.

Liswanto berkata gunung berapi itu sekali lagi meletus pada 5.46 pagi WIB dengan menghasilkan awan mengandungi abu setinggi kira-kira 300 meter di atas puncak.

Beliau berkata Gunung Semeru masih berada pada status aktiviti gunung berapi Tahap III (berjaga-jaga).

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia (PVMBG) menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti dalam radius 13 kilometer di sektor tenggara sepanjang Besuk Kobokan dari puncak gunung itu.

Penduduk juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan awan panas, runtuhan lava serta aliran lahar di sepanjang sungai yang berpunca dari puncak gunung berapi itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.