SHAH ALAM, 13 MAC: Mudah membeli tetapi susah hendak dipakai, itu antara isu yang dihadapi ramai pembeli pakaian secara dalam talian. Situasi ini ketara menjelang musim perayaan apabila trend pembelian dalam talian bertambah.
Pada Ramadan, misalnya, data dikeluarkan firma kajian, Criteo, mendapati wujud peningkatan pembelian dalam talian sehingga 52% di Malaysia pada 2025. Malah, data juga mendapati wujud pertambahan pembelian sehingga 18% bagi pakaian dan aksesori dan 54% bagi barangan keagamaan dan perayaan.
Situasi itu secara tidak langsung meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan ubah suai pakaian bagi memastikan baju yang dibeli secara dalam talian sesuai dipakai pada Hari Raya.
Seorang tukang jahit kelahiran Kajang, Jessica Lee, 62, berkata beliau menerima banyak tempahan ubah suai baju raya daripada pelanggan yang membeli pakaian secara dalam talian.

“Terdapat masalah lain yang akan tercetus seperti saiz terlalu besar atau terlalu kecil dan jahitan yang tidak kemas," katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata kebiasaannya pelanggan akan datang ke kedai terlebih dahulu untuk memeriksa sama ada pakaian boleh diubah suai ataupun tidak.
"Sebagai contoh pakaian siap dibeli yang sukar diubah suai adalah baju yang mempunyai sulaman,” jelas beliau.
Jessica yang turut mengajar menjahit sejak 1994 dan pernah menerima tempahan baju daripada isteri Perdana Menteri Malaysia, Wan Azizah Wan Ismail, berkata beliau lebih banyak menerima pelanggan yang terdiri daripada golongan wanita berbanding lelaki.
"Kurangnya pelanggan lelaki kerana fesyen pakaian mereka lebih ringkas," tambahnya.
Tempoh untuk menyiapkan kerja pengubahsuaian baju juga bergantung kepada tahap kesukarannya.
“Jika sekadar pendekkan atau kecilkan baju, sekitar 30 minit sudah boleh siap, namun jika perlu membuka semula jahitan mengambil masa yang lama," katanya.

Beliau turut berkongsi antara cabaran yang sering dihadapi ialah pelanggan yang menghantar pakaian pada saat akhir, termasuk pelanggan yang datang dua hari sebelum Hari Raya.
"Jenis kain juga menjadi cabaran kerana ada terlalu nipis dan memerlukan lebih ketelitian ketika menjahit," jelas beliau.
Selain itu, Jessica turut mengupas isu antara menempah atau membeli baju di dalam talian yang lebih baik.
"Pilihan menempah atau membeli baju bergantung kepada masing-masing. Jika ada baju yang sesuai dengan citarasa, mereka boleh terus membeli kerana pelanggan yang menempah baju biasanya yang sukar mendapatkan saiz," katanya.
Jessica juga berpendapat tempahan baju raya semakin berkurang mungkin atas faktor kos menjahit yang jauh lebih tinggi.
"Harga tempahan boleh mencecah sehingga RM3,500 bergantung kepada rekaan, manakala harga biasa sekitar RM480 sepasang dengan caj minimum RM160," jelas beliau.

Bagaimanapun, ada pelanggan yang sanggup memilih untuk menempah baju kerana mahu rekaan yang lebih istimewa berbanding orang lain.
Menurut Jessica, bagi raya tahun ini, jumlah pelanggan yang menempah baju dan mengubah suai pakaian yang siap dibeli adalah hampir sama.
Beliau turut menegaskan bahawa para tukang jahit tidak perlu risau akan saingan pembelian dalam talian.
"Sebagai seorang tukang jahit, banyak peluang untuk menjana pendapatan dengan kepakaran yang diperoleh, selagi kerja dilakukan dengan baik, pelanggan pasti akan terus percaya dan datang," katanya.










