SHAH ALAM, 11 MAC: Selangor sedang mempertimbangkan untuk menaikkan caj semasa beg plastik 20 sen selepas pelan tindakan pengurangan plastik sekali guna dimuktamadkan.
EXCO Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata langkah itu berkemungkinan dilaksanakan susulan cadangan mewajibkan kutipan caj beg plastik melalui penguatkuasaan undang-undang kecil yang sedang dirangka oleh Kerajaan Negeri.
Menurutnya, kadar baharu itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum dimuktamadkan.
“Ketika ini cajnya 20 sen dan kadar itu telah dilaksanakan agak lama. Kita bercadang mewujudkan peruntukan dalam undang-undang kecil bagi memberi punca kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan kutipan caj plastik dilaksanakan.
“Bagaimanapun kadar baharu itu masih belum ditetapkan. Namun kemungkinan berlaku kenaikan memandangkan kutipan caj plastik akan diwajibkan selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa bersama media di sini, semalam.

Beliau berkata sebagai perbandingan, Pulau Pinang memulakan caj beg plastik pada kadar RM1 dan boleh dinaikkan sehingga RM2 bagi setiap beg.
Namun katanya, kadar baharu yang bakal diputuskan kelak perlu realistik dan praktikal untuk rakyat di negeri ini.
Menurut Jamaliah, sejak pelaksanaan caj beg plastik pada 2020, kutipan di Selangor telah mencecah lebih RM20 juta.
Beliau berkata, sebahagian besar kutipan tersebut digunakan bagi kempen kesedaran mengurangkan penggunaan plastik selain menyokong pelaksanaan Program Kitar Semula Selangor (SelKitar).
Menurutnya, program SelKitar menggalakkan penduduk mengamalkan kitar semula dengan meletakkan bahan kitar semula di hadapan rumah untuk dikutip oleh lori khas.
“Program ini dilaksanakan sebagai projek perintis di 11 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan melibatkan kira-kira 400,000 kediaman,” katanya.
Jamaliah berkata, objektif utama pelaksanaan caj plastik adalah untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, bukan meningkatkan kutipan.

“Harapan kita sebenarnya kutipan itu semakin berkurang kerana orang ramai tidak lagi menggunakan beg plastik sekali guna,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri turut bercadang memperkenalkan larangan penggunaan plastik sekali guna pada hari tertentu di premis perniagaan.
Langkah itu akan dilaksanakan menerusi pindaan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap premis yang tidak mematuhi peraturan berkenaan.
Jamaliah berkata, pelan tindakan serta perundangan berkaitan dijangka dimuktamadkan sekitar Julai ini, bergantung kepada proses semakan undang-undang termasuk terjemahan ke dalam bahasa Inggeris.
“Sebagai contoh, mungkin pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad penggunaan plastik sekali guna akan dilarang di premis tertentu.
“Jika dimuktamadkan, Selangor berpotensi menjadi negeri pertama yang mempunyai undang-undang kecil khusus bagi mengawal penggunaan plastik sekali guna,” katanya.








