SHAH ALAM, 12 MAC: Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga sebuah unit kediaman di Jalan Gombak ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis berkaitan kes curi motosikal, malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.07 malam ketika sepasukan anggota polis menjalankan serbuan di premis berkenaan.
"Kedua-dua suspek cuba melarikan diri dengan bertindak terjun daripada tingkat tiga bangunan.
"Seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Menurutnya, serbuan itu turut membawa kepada penahanan 12 individu di kediaman berkenaan.
"Polis menahan 12 individu terdiri daripada empat lelaki, lima wanita dan tiga kanak-kanak berumur lingkungan tiga hingga 42 tahun termasuk dua warganegara Indonesia.
"Polis juga merampas dua motosikal curi dan beberapa jenis dadah di kediaman itu. Siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.
Fadil turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran awam.




