170 rakyat Malaysia terkandas di Asia Barat berjaya dibawa pulang

11 Mac 2026, 6:45 AM
170 rakyat Malaysia terkandas di Asia Barat berjaya dibawa pulang
170 rakyat Malaysia terkandas di Asia Barat berjaya dibawa pulang
170 rakyat Malaysia terkandas di Asia Barat berjaya dibawa pulang

SHAH ALAM, 11 MAC: Seramai 170 rakyat Malaysia yang terkandas di zon konflik Asia Barat berjaya dibawa pulang menerusi operasi evakuasi menggunakan penerbangan khas Malaysia Airlines, menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN).

MKN dalam kenyataan hari ini memaklumkan penerbangan khas itu berlepas dari Kuala Lumpur ke Jeddah pada 10 Mac sebelum selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11 Mac jam 12.48 tengah hari.

Menurut kenyataan itu, rakyat Malaysia yang dibawa pulang terdiri daripada mereka yang berada di Jeddah dan Madinah seramai 133 orang, selain dipindahkan dari beberapa negara lain di rantau tersebut termasuk Qatar (34 orang), Syria (dua orang) dan Jordan (seorang).

“Mereka terdiri daripada rakyat Malaysia yang berada di Jeddah dan Madinah serta sebahagian yang dipindahkan dari beberapa negara di rantau tersebut,” menurut kenyataan berkenaan.

Penerbangan sama turut membawa pulang lima warga Thailand, seorang warga Indonesia dan seorang warga Morocco yang merupakan ahli keluarga kepada rakyat Malaysia yang terlibat.

Operasi evakuasi itu diselaraskan oleh MKN dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri serta perwakilan Malaysia di Jeddah, Doha dan Amman.

“Perwakilan Malaysia di lapangan turut membantu menyelaras pergerakan rakyat Malaysia yang terjejas, termasuk pemindahan melalui laluan darat dari beberapa lokasi di rantau tersebut ke Jeddah bagi membolehkan mereka menyertai penerbangan pulang ke tanah air,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia Airlines serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran operasi membawa pulang rakyat Malaysia dari zon konflik tersebut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.