Dua sindiket dadah tumpas, polis rampas syabu, ganja bernilai RM14.6 Juta

11 Mac 2026, 3:32 AM
Dua sindiket dadah tumpas, polis rampas syabu, ganja bernilai RM14.6 Juta

SHAH ALAM, 11 MAC: Dua sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan bunga ganja seberat 221.4 kilogram bernilai RM14.6 juta tumpas menerusi empat siri serbuan polis antara 3 hingga 5 Mac lalu.

Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Gombak, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang serta Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan lima warga asing termasuk seorang wanita.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kes pertama membabitkan penahanan empat warga asing termasuk seorang wanita dengan rampasan dadah disyaki bunga ganja seberat 116.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM9.35 juta.

Menurutnya, pada 3 Mac lalu seorang lelaki disyaki keldai dadah ditahan di KLIA bersama bagasi berisi 49 bungkusan plastik mengandungi dedaun kering disyaki bunga ganja seberat 27.2 kilogram yang dipercayai untuk dibawa ke luar negara.

“Susulan tangkapan itu, pada 4 Mac seorang lagi lelaki warga asing yang dipercayai dalang utama sindiket ditahan di sebuah rumah di Kota Warisan, Sepang. Turut dirampas satu bagasi berisi 25 bungkusan plastik mengandungi bunga ganja seberat 14.3 kilogram.

“Hasil soal siasat, dua lagi suspek termasuk seorang wanita warga asing ditahan di sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur. Pemeriksaan lanjut menemukan lima bagasi berisi 136 bungkusan plastik mengandungi bunga ganja seberat 74.8 kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata keempat-empat suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun dan dipercayai memasuki negara ini antara Disember hingga pertengahan bulan lalu menggunakan pas lawatan pelancong.

Katanya, kesemua suspek dipercayai dari rangkaian sindiket sama dan dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran luar negara.

“Polis turut menyita dua kereta, dua utas jam tangan termasuk jenama mewah serta mata wang kripto,” katanya.

Dalam kes berasingan, Shazeli berkata dua lelaki termasuk seorang warga asing ditahan di sekitar Gombak bersama rampasan lima beg kanvas berisi 64 bungkusan plastik bertulis ‘Daguanyin’ yang disyaki dadah jenis syabu seberat 105.1 kilogram.

Menurutnya, rampasan dadah bernilai RM5.25 juta itu ditemukan di bahagian belakang sebuah van jenis Nissan yang digunakan suspek.

“Hasil semakan mendapati suspek tempatan berusia 34 tahun bekerja sebagai penghantar barangan syarikat kurier dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.

“Seorang lagi suspek warga asing berusia 47 tahun yang bekerja di sebuah kuil sekitar Batu Caves pula tidak mempunyai sebarang rekod jenayah di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata dadah tersebut dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak bulan lalu.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.