SHAH ALAM, 11 MAC: Seorang kontraktor disamun dua lelaki yang berpura-pura sesat sebelum mengikat serta melarikan kenderaan miliknya dalam kejadian di kebun kelapa sawit di Bukit Perah, Banting semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata kejadian berlaku apabila mangsa yang berusia lingkungan 50-an didatangi dua suspek yang berjalan kaki sebelum berpura-pura bertanyakan arah jalan.
Menurutnya, selepas berbual seketika, salah seorang suspek bertindak mengeluarkan sebilah parang lalu mengikat tangan dan kaki mangsa.
“Suspek turut menendang muka mangsa hingga menyebabkan bibirnya pecah sebelum melarikan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik mangsa bersama telefon bimbit, barang peribadi termasuk dokumen penting serta wang tunai berjumlah RM9,500,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata mangsa kemudian membuat laporan polis pada jam 10.15 pagi.
Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan dan risikan sebelum berjaya menemukan semula kenderaan yang dilarikan dalam tempoh kira-kira sejam di tepi Jalan Prima Puchong.
Menurutnya usaha memburu suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.








