Lembaga Tatatertib JPA akan bincang hasil siasatan isu saham Azam Baki

10 Mac 2026, 5:28 AM
Lembaga Tatatertib JPA akan bincang hasil siasatan isu saham Azam Baki

SHAH ALAM, 10 MAC: Lembaga Tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan hasil siasatan berhubung isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata beliau sudah menerima laporan daripada jawatankuasa khas yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

“Kita akan mengadakan mesyuarat lembaga tatatertib tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu acara hari ini seperti dilapor NST.

Sementara itu, mengenai kontrak Azam, Shamsul Azri berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Pada 27 Februari lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan Siasatan Jawatankuasa Khas berhubung isu pemilikan saham Azam hampir siap dan laporannya dijangka diserahkan kepada Jemaah Menteri minggu depan.

Menurut beliau, hasil laporan itu akan diteliti sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat, termasuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Terdahulu, media melaporkan Mohd Dusuki dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung isu pemilikan saham berkenaan.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Penubuhan jawatankuasa tersebut susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam pada sidang media sebelum ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam syarikat berkenaan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.