SHAH ALAM, 10 MAC: Seorang lelaki maut dengan kesan tetakan, manakala adik perempuannya cedera parah apabila tangan hampir putus dalam kejadian di hadapan rumah mereka di Taman Kempas, Sungai Petani, Kedah awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata kejadian dipercayai berlaku antara jam 12 tengah malam hingga 2 pagi.
Menurutnya, mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa dipercayai ditetak berulang kali sebelum meninggal dunia menggunakan senjata tajam.
“Kita turut menemui beberapa senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan telah dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hanyan berkata, adik perempuan mangsa yang mengalami kecederaan serius kini dirawat di wad kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian tersebut bukan berpunca daripada pengaruh alkohol, namun motif sebenar masih dalam siasatan.
“Setakat ini kita masih menyiasat hubungan antara mangsa dan penyerang. Suspek juga dipercayai tinggal di kawasan perumahan sama dengan mangsa.
“Susulan itu, polis menahan tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek telah dibawa ke mahkamah pagi ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSAH untuk tindakan lanjut,” katanya.








